Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tak pasti dakwaan dua suspek sembunyi di kedutaan

Polis belum dapat mengesahkan dakwaan bahawa dua suspek yang dicari untuk membantu siasatan pembunuhan Kim Jong-nam sedang "bersembunyi" di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

"Kita tak pasti sama ada dia bersembunyi di kedutaan atau tidak...kita panggil dia untuk bantu siasatan kitalah. Kita tunggulah jawapan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Bernama ketika dihubungi.

Media asing melaporkan bahawa kedua-dua suspek dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44, dan Kim Uk-il, 37, dipercayai "bersembunyi" dalam bangunan kedutaan.

Kedua-dua mereka bersama suspek ketiga dikenal pasti sebagai Ri Ji-u, 30, juga dikenali sebagai James, dipercayai masih berada di negara ini.

Keberadaan Ji-u juga tidak diketahui. Kwang-song ialah Setiausaha Kedua di kedutaan dan Uk-il ialah kakitangan
syarikat penerbangan Korea Utara Koryo Air, kata Khalid pada sidang media sebelumnya.

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, meninggal dunia selepas diserang pada 13 Feb oleh dua wanita yang yang dilaporkan menyapu mukanya dengan apa yang dipercayai cecair beracun.

Susulan serangan itu, polis Malaysia menahan empat suspek - seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara. Lelaki warga Malaysia itu
dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum itu, dilaporkan bahawa polis sedang memburu tujuh suspek rakyat Korea Utara - empat daripada mereka dikatakan telah meninggalkan Malaysia pada hari Jong-nam diserang semasa menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau di

Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2).

Jong-nam tiba di Malaysia pada 6 Feb dan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.

Lebih 50 petugas media telah berkumpul di hadapan kedutaan itu tengah hari tadi untuk mendapatkan komen daripada para pegawai kedutaan susulan sidang media Khalid dan khabar angin bahawa kedua-dua suspek bersembunyi di premis tersebut.
-Bernama

Lihat Komen
ADS