Malaysia tidak perlu menunggu China (untuk membuat keputusan mengenai mata wang yuan) sebelum membuat keputusan mengenai tambatan semula ringgit, kata pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) Prof Emeritus Mohamed Ariff.

"Kita tidak perlu menunggu China kerana ia akan menjadi satu kesilapan dasar yang besar jika kita berbuat demikian. Malah, kita hendaklah melakukannya secara proaktif dan melakukannya lebih awal dari China untuk membuat keputusan itu," katanya kepada pemberita di luar sidang Simposium Globalisasi dan Ekonomi-ekomoni Yang Sedang Muncul di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, Mohamed berkata, China mempunyai sebabnya tersendiri, termasuk masalah dalaman, untuk tidak menilai semula yuan.

"Jika yuan mahu ditambat semula sekarang ini, ia akan menimbulkan masalah penyelarasan yang besar di China," katanya.

Antara lain, katanya, China berhadapan dengan sektor pertanian yang lemah, perusahaan milik negeri yang mengalami keadaan berhutang yang besar, serta sektor perbankan yang tidak bertenaga.

"Bagi China, apa yang lebih penting ialah kestabilan dan bukan tertumpu kepada keseimbangan imbangan pembayaran," katanya.

"Mereka mempunyai sebab sebenar kerana tidak melakukannya sekarang,"katanya sambil menyatakan bahawa China mempunyai sejarah 3,000 tahun dan tidak akan tunduk kepada tekanan luaran.

"Saya percaya China tidak akan melakukan apa-apa (untuk menilai semula yuan), dan akan menantikan sehingga Sukan Olimpik dalam 2008. Tetapi jangka masa itu akan menyebabkan kita terlambat," katanya.

Kadar pertukaran anjal

Awal hari ini, adalah dilaporkan bahawa Perdana Menteri China Wen Jiabao menyatakan semula komitmen negaranya untuk menggunapakai perlahan-lahan kadar pertukaran yang anjal, tanpa memberi sebarang butiran lanjut.

Yuan dianggap oleh rakan perdagangan terbesar China sebagai terlalu murah dan dijangka meningkat jika dinilai semula, yang kemungkinan menyumbangkan kepada kenaikan nilai mata wang Asia yang lain.

Dalam masa yang sama, Mohamed juga menyatakan bahawa Malaysia tidak perlu menunggu sehingga ringgit terkurang nilai sehingga 20 peratus sebelum menilai semula mata wang itu kelak.

Katanya, ini adalah kerana menjelang waktu itu, ekonomi negara ini, terutama sekali aktiviti eksport tidak akan dapat menampung perubahan sedemikian.

"Segala-galanya akan terhenti," katanya.

Mohamed berkata, adalah perkara terbaik untuk menambat semula ringgit sekarang ini bagi membolehkan ekonomi menyelaraskan semula keadaanya secara perlahan-lahan.

Katanya, dolar AS hanya mengalami kekukuhan sementara dan ringgit akan merosot semula jika tambatan semula tidak dilakukan kena pada masanya.

"Ringgit kini mengalami terkurang nilai sekarang ini. Kita perlu mengkaji semula tambatan ringgit agar nilainya meningkat perlahan-lahan," katanya.