Pengarah syarikat didakwa manipulasi pasaran saham
Seorang pengarah bagi dua anak syarikat sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memanipulasikan pasaran saham.
Seorang pengarah bagi dua anak syarikat sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memanipulasikan pasaran saham.
Datuk Chin Chan Leong, 52, pengarah Fountain View Plantations dan Fountain View Land, menghadapi dua tuduhan mewujudkan satu rupa yang mengelirukan sebagai memperdagangkan dengan aktif saham Fountain View Development Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bursa Malaysia di tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan di Kuala Lumpur, antara 18 November dan 20 Januari tahun lalu.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Akhtar Tahir.
Chin dituduh di bawah Seksyen 84 (1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 88B akta yang sama.
Menurut laporan Bernama, jika disabitkan, Chin boleh didenda tidak kurang RM1 juta dan dipenjara tidak melebihi 10 tahun bagi setiap kesalahan.
Perbicaraan bersama
Sementara itu, bekas remisier Evenue Securities Sdn Bhd, Hiew Yoke Lan, 43, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan bersubahat dengan Chin.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 84 (1) dibaca bersama Seksyen 122C (c) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 88B.
Akhtar menetapkan 16 Januari tahun depan untuk perbicaraan bersama kedua-duanya dan membenarkan ikat jamin RM1 juta dan RM200,000 dengan seorang penjamin masing-masing bagi Chin dan Hiew.
Beliau juga memerintahkan mereka menyerahkan pasport dan dokumen perjalanan mereka kepada mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, Chin didakwa telah mewujudkan suatu rupa yang mengelirukan sebagai memperdagangkan dengan aktif saham Fountain View Development Berhad dalam Bursa Malaysia Securities Berhad, di mana dia secara tidak langsung ada kaitan dengan transaksi-transaksi penjualan dan pembelian saham-saham tersebut yang tidak melibatkan apa-apa pertukaran keempunyaan benefisial saham-saham itu, melalui 20 akaun depositori pusat.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah menyebabkan diwujudkan suatu rupa yang mengelirukan berkenaan dengan harga saham Fountain View Development Berhad yang mempunyai kesan menaikkan harga saham tersebut melalui transaksi-transaksi yang dilaksanakan melalui 20 akaun depositori pusat itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Saham Kuala Lumpur, Tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara 18 November 2003 dan 20 Januari tahun lalu.
'Ganggu saksi'
Chin diwakili peguam Mah Weng Kwai manakala Edmund Bon mewakili Hiew. Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Abang Iskandar Abang Hashim dari Suruhanjaya Sekuriti.
Mengenai permohonan ikat jamin, Mah berkata Chin telah ditangkap awal pagi ini dan pasportnya telah dirampas.
Walaupun dia didakwa bagi kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin RM500,000 yang mana Chin akan mengemukakan jaminan melalui rakannya, Liew Fook Meng, dengan jaminan simpanan tetap, kata Mah.
Sementara itu, Abang Iskandar berkata siasatan menunjukkan Chin telah mengganggu saksi-saksi dengan mengajar apa yang perlu dikatakan kepada pegawai-pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau telah mengemukakan afivadit mengenai perkara itu kepada mahkamah tetapi Akhtar menyifatkan sebagai satu dakwaan asas tanpa butiran yang terperinci.
Akhtar kemudiannya memberi amaran kepada Chin supaya tidak mengganggu saksi-saksi atau jaminannya akan dibatalkan.
Bon berkata Hiew yang masih bujang menderita penyakit barah paru-paru dan paru-parunya yang sebelah kiri telah dibuang tahun lalu lalu dan dia kini menjalani rawatan perubatan tradisional.
Beliau berkata Hiew kini tidak bekerja dan terpaksa menjaga ibunya yang telah tua. Seorang saudara perempuan Hiew mengemukakan jaminan.
Menjunam kepada 40 sen
Saham Fountain View telah diperdagangkan pada harga kira-kira RM5 selama lebih 15 bulan, biasanya dalam jumlah yang besar.
Harganya bagaimanapun menjunam daripada paras tertingginya RM5 sesaham di Bursa Malaysia kepada 40 sen dalam tempoh tiga minggu, menyebabkan kehilangan RM1.8 juta dalam permodalan pemasaran.
Beberapa bank, termasuk bank asing, dikatakan kerugian beberapa ratus juta ringgit daripada pasaran saham. Pelabur runcit juga terjejas teruk dengan kejatuhan harga saham.
Kejatuhan harga juga menyebabkan sentimen negatif tersebar luas dalam pasaran menyebabkan sesetengah bank menarik diri daripada membiayai pembelian saham dan mengisytiharkan sejumlah besar saham sebagai bukan marginal. Ini menyebabkan kejatuhan lebih teruk di pasaran.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Fountain View Development Berhad hari ini, lembaga pengarahnya enggan memberikan komen atau menjelaskan isu berkenaan kepada para pemegang saham dan menyatakan mereka tidak sedar mengenai perkara itu.
Semasa ditutup tengah hari ini, Fountain View turun sembilan sen kepada 47 sen.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.