Minta maaf kepada NC, siswa - PMPUM
Mereka yang pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif terhadap Naib Canselor Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain dan pelajar Universiti Malaya berhubung kebakaran dewan bersejarah harus meminta maaf secara terbuka, gesa persatuan utama pelajar.
Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan hari ini berkata, persatuan itu berasa kesal dengan mereka yang membuat pelbagai andaian selepas kebakaran Dewan Tunku Canselor.
"Sepatutnya andaian dan kenyataan siapa yang salah tidak harus dibuat sebelum mengetahui punca sebenar dan hasil siasatan polis," katanya, selepas majlis pelancaran tabung bagi membantu membina semula dewan itu.
Beliau mempersoalkan anggapan pihak luar yang cuba mengaitkan kebakaran itu dengan sebaran risalah yang membantah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam simposium 'Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' Ahad lalu.
"Jika benar risalah itu datang daripada pelajar universiti ini, mengapa hanya mereka yang berada sekitar kawasan berhampiran DTC yang mendapatnya? Ramai lagi pelajar yang tidak mengetahui atau mendapat risalah itu, termasuk kami sendiri dalam MPMUM," katanya.
Menurut Mohamad Fuad lagi, beliau difahamkan risalah itu diedarkan sehari sebelum kejadian itu pada awal pagi Jumaat lalu.
"Saya sendiri hanya mengetahui tentang risalah itu selepas kebakaran itu melalui laporan akhbar," katanya.
MPMUM turut mengeluarkan ikrar sokongan pelajar kepada Naib Canselor dan kesediaan mereka, terutama pemimpin MPMUM, bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu siasatan kebakaran DTC.
Ikrar itu akan diberikan kepada Naib Canselor, sementara salinannya kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, tambah Mohamad Fuad.
Dalam ikrar itu, pelajar berharap isu itu dapat diselesaikan oleh pengurusan universiti itu tanpa campur tangan pihak luar dan juga menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kebakaran.

