Aktivis pelajar ditahan ISA, rumah seorang lagi digeledah
Seorang aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ditahan di bawah seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Seorang aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ditahan di bawah seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Beliau pada awalnya ditangkap di depan balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur jam 9.30 pagi ketika mengiringi enam aktivis pelajar yang dikehendaki melapor diri di balai itu berhubung siasatan kes perhimpunan aman di Masjid Negara pada 8 Jun lalu.
Sejam selepas itu, Khairul Anuar dibawa ke biliknya di Bangsar, Kuala Lumpur apabila polis menggeledah dan merampas beberapa kotak bahan bercetak, komputer dan video cakera padat (VCD).
Seorang pegawai polis mengesahkan tangkapan itu kepada beberapa wartawan akhbar bebas, termasuk Malaysiakini.com, dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang berada di tempat kejadian.
Khairul Anuar pernah menerima surat tunjuk sebab daripada IKM pada 25 Jun lalu sebelum tindakan tatatertib selanjutnya diambil. Beliau dihadapkan dengan empat tuduhan - hasil siasatan bahagian Cawangan Khas, ibu pejabat polis Bukit Aman.
Tuduhan itu menyebutkan, Khairul Anuar pernah menyertai kempen, bersama sembilan pelajar universiti, bagi menyokong Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara pada 18 Februari lalu dengan mengadakan persembahan bacaan sajak, nyanyian dan berpidato.
Beliau juga dituduh menyertai bengkel motivasi reformasi di Kelab Darul Ehsan, Selangor pada 27 Februari lalu bagi "menjayakan agenda untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi."
Khairul Anuar turut dituduh pernah menyertai "perjumpaan sulit" di rumah Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bagi "merancang demonstrasi jalanan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan." Malaysiakini bagaimanapun difahamkan pelajar itu menafikan tuduhan ini.
Beliau dituduh pernah ditugaskan mendapat sokongan siswa untuk menyertai perhimpunan reformasi ketika mesyuarat Pemuda Keadilan di ibu pejabat parti itu di Jalan Damansara 20 Mac lalu.
Rumah aktivis diserbu
Enam pelajar itu, ketika di balai Dang Wangi pagi ini, diarahkan melaporkan diri semula pada 19 Julai. Malaysiakini difahamkan mereka "perlu menyediakan wang ikat jamin" pada hari itu.
Semua pelajar itu ditangkap di Masjid Negara dalam perhimpunan bagi menggesa pemansuhan ISA yang dianjurkan gabungan 12 persatuan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI). Mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan di balai yang sama hampir 24 jam.
Sementara itu rumah seorang bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) di Bangi, Selangor diserbu polis tengahari semalam.
Lapan orang anggota polis berpakaian biasa, diketuai oleh seorang pegawai yang dikenali sebagai ASP Lee, daripada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) sampai kira-kira jam 2.30 petang.
Malaysiakini dimaklumkan polis menggeledah bilik tidur, dapur, tandas dan sekeliling rumah itu kira-kira 45 minit. Isterinya, juga seorang aktivis pelajar * , yang hamil lapan bulan ketika itu berada di rumah.
Polis memeriksa sebuah komputer di rumah itu, mencetak beberapa tulisan dan mengambil cetakan itu.
Serbuan itu dikatakan bagi siasatan berhubung penerbitan majalah Varsiti 2001 yang diedarkan bulan lalu. Majalah tahunan itu diterbitkan secara rasmi oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa UM. Persatuan itu bagaimanapun mendakwa Varsiti 2001 adalah palsu dan memaklumkan edisi itu yang sebenar akan diterbitkan November ini.
Malaysiakini juga difahamkan rumah seorang pemimpin pelajar universiti itu, Muhammad Faisal Abdul Rahman di Kelana Jaya, Selangor turut digeledah tengahari semalam. Menurut laporan Harakahdaily.com hari ini, rumah yang sama digeledah lagi oleh sekumpulan pegawai polis tengahari tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memberitahu tiga pelajar Universiti Islam Antarabangsa diarah memberikan keterangan kepada pihak pentadbiran universiti itu semalam berhubung satu majlis pelancaran kempen 'Mansuhkan ISA' yang diadakan di kampus itu Mei lalu.
Pelajar-pelajar ini dipercayai mempunyai hubungan dengan GMMI.
Foto ehsan Harakahdaily.com
Nota editor: Isteri seorang pensyarah kolej swasta dalam berita ini bukan seorang aktivis pelajar * dan siasatan polis itu dimaklumkan bukannya berdasarkan alamat yang meyakinkan. Malaysiakini kesal terhadap tanggapan umum akibat kecuaian itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.