Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan warga emas hasut sertai perhimpunan basikal

Polis menahan tiga lelaki warga emas kerana membuat kenyataan jelik dan fitnah berhubung kemalangan remaja berbasikal
baru-baru ini serta menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata mereka ditahan secara berasingan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dengan dua daripada mereka ditangkap malam tadi manakala seorang lagi awal pagi ini.

"Lelaki pertama berumur 65 tahun dipercayai individu bertanggungjawab membuat kenyataan jelik dan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan polis pada
pukul 8 pagi semalam.

"Dia ditahan pukul 10 malam tadi di Ipoh, Perak selepas polis menerima satu laporan berkaitan penyalahgunaan laman sosial berkenaan pada pukul 8.28 pagi semalam," katanya menerusi kenyataan di Johor bahru hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil tangkapan itu, polis merampas dua kad sim dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan lelaki tersebut untuk membuat kenyataan jelik dan hasutan berkenaan menerusi Facebook.

Beliau berkata menerusi penahanan kedua dan ketiga pula, polis menahan lelaki berumur 61 dan 64 tahun, masing-masing di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor serta Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, kedua-dua mereka dipercayai membuat kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut yang melibatkan lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada 18 Feb lepas. Katanya penahanan itu dibuat pada pukul 11 malam tadi dan 2 pagi tadi susulan laporan polis yang dibuat pada pukul 1.02 tengah hari semalam, berkaitan
kenyataan tersebut di Facebook.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit berserta dua kad sim bagi siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Ketiga-tiga lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Polis Johor ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

"Orang ramai juga dinasihati tidak menyebarkan apa-apa kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam melalui mana-mana aplikasi komputer," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS