Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen hari ini enggan mengesah atau menolak sama ada terdapat juga aduan terhadap seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam berhubung pelanggaran etika pemilihan parti itu September lalu.

"Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai kedudukan (Datuk Seri) Mohd Ali Rustam," katanya ketika ditanya bertubi-tubi oleh para wartawan yang hadir di sidang media hari ini.

Sidang media tersebut diadakan untuk mengumumkan kes Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad yang digantung keahlian dan jawatannya sebagai Naib Presiden Umno selama enam tahun, dan kes-kes yang membabitkan beberapa pemimpin Umno yang lain.

Sebaliknya, apabila para wartawan terus bertanya perkara yang sama, Tengku Rithauddeen hanya berkata, tiada lagi aduan baru yang akan dilayan oleh lembaga tersebut kerana tempoh untuk berbuat demikian sudah tamat pada 18 April lalu.

Menurutnya, lembaga tersebut memberi imuniti kepada mereka yang membuat aduan sepanjang tempoh sepuluh hari, dari 8 hingga 18 April lalu.

"Kita tidak akan buka buku baru...masa 10 hari yang diberikan sudah cukup untuk ahli Umno membuat aduan kepada Lembaga Disiplin," katanya.

Apabila tanya sama ada semua kes, termasuk aduan yang dibuat sebelum tempoh 10 hari tersebut, sudah selesai disiasat, beliau sekali lagi enggan menjawabnya.

Apabila para wartawan bertanya lagi sama ada ini adalah sidang akhbar terakhir oleh lembaga tersebut, Tengku Rithauddeen hanya ketawa tetapi enggan menjawabnya.

159 kes disiasat

Keengganan Tengku Rithauddeen menjawab secara terus terang soalan mengenai Ketua Menteri Melaka itu, akan menyebabkan akan berterusan spekulasi mengenai kemungkinan Mohd Ali juga akan turut dipanggil menghadap lembaga disiplin.

Apabila beliau berulangkali menegaskan bahawa tidak kes baru selepas ini, seorang wartawan berkata, sebelum ini beliau (Tengku Rithuaddeen) pernah mengatakan tiada lagi kes baru, tetapi selepas itu, ada lagi pemimpin Umno yang didapati bersalah kerana politik wang.

Akhbar hari ini melaporkan Mohd Ali dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak menerima surat dari Lembaga Disiplin Umno untuk memberi keterangan terhadap sebarang dakwaan salahlaku dalam pemilihan parti lalu.

Sebelum itu, Tengku Rithauddeen memberitahu, Lembaga Disiplin Umno telah membicarakan 159 kes mengenai rasuah politik sejak akhir tahun lalu dan 69 kes daripadanya didapati bersalah.

Mengenai dakwaan bahawa kes Isa hanya diputuskan dalam tempoh 24 jam selepas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dipanggil menghadap lembaga berkenaan, Tengku Rithauddeen berkata:

"Lembaga mula menyiasat kes (Tan Sri) Isa sejak Oktober lalu dan kami memanggil kira-kira 30 saksi sebelum keputusan dibuat Jumaat lalu. Kami juga memberi peluang yang cukup kepada beliau untuk membela diri daripada tuduhan tersebut," katanya.

Tengku Ahmad Rithaudden berkata, Isa menghadapi sembilan tuduhan dan didapati bersalah atas lima kesalahan, iaitu penggunaan wang, menggunakan ejen dan mengadakan perhimpunan semasa kempen pemilihan parti tahun lalu.

Menurutnya, Lembaga Disiplin tidak mempunyai agenda tertentu ketika membuat keputusan bersalah terhadap Isa.

Mengenai kenyataan Isa yang tidak puas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin tersebut, Tengku Ahmad Rithaudden berkata, pihaknya yakin saksi yang dipanggil dalam perbicaraan tersebut bercakap benar dan mempunyai kredibiliti.