Muhd Taib: Jawatan naib presiden pernah kosong sebelum ini
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sependapat dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kekosongan jawatan naib presiden selepas penggantungan Tan Sri Isa Samad tidak perlu diisi sehingga pemilihan akan datang.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sependapat dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kekosongan jawatan naib presiden selepas penggantungan Tan Sri Isa Samad tidak perlu diisi sehingga pemilihan akan datang.
Beliau gagal mempertahankan jawatan naib presiden dan menduduki tempat keempat dalam pemilihan parti September lalu, berkata kekosongan itu tidak akan menjejaskan kekuatan parti.
Katanya, kekosongan jawatan naib presiden ini pernah berlaku apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi pemangku timbalan presiden Umno pada 1999.
Jawatan timbalan presiden Umno menjadi kosong selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada parti dan kerajaan pada 1998.
"Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak mengisi kekosongan Abdullah," katanya kepada malaysiakini .
Dua lagi naib presiden ketika itu ialah Muhammad Taib dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjadi Timbalan Presiden Umno.
Namun kata Muhammad, kedudukan Umno ketika itu semakin kuat seperti yang dibuktikan oleh kemenangan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum pada 1999.
Dua naib presiden
Bagaimanapun, katanya, penggantungan Isa adalah merupakan kes pertama dalam sejarah Umno.
Sabtu lalu, Najib juga berkata, kekosongan jawatan tersebut tidak akan diisi sehingga pemilihan parti yang akan datang.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno akan hanya mempunyai dua naib presiden jika Majlis Tertinggi mengesahkan hukuman ke atas Isa.
Lembaga Disiplin Umno dalam mesyuarat lebih dua jam Jumaat lalu, mengambil keputusan menggantung keahlian Isa selama enam tahun atau dua penggal selepas didapati bersalah melanggar tataetika parti menjelang pemilihan Umno September tahun lalu.
Beliau memperolehi undi tertinggi sebanyak 1,507 undi, diikuti Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Muhammad memperolehi 1,177 undi.

