Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pahit bagi reformis, pahit lagi tuan punya badan'

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berharap agar kumpulan "reformis" dapat bergerak ke hadapan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas ejekan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Konvensyen Reformis Sabtu lalu, Nik Nazmi berkata setiap orang perlu berlapang dada, seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya yakin bukan mudah mereka (reformis) untuk terima (Mahathir) begitu sahaja. Kita faham sentimen mereka.

“Bagaimanapun kita harap Mahathir sebagai bekas perdana menteri, kita hormatinya kerana kita sekarang ada agenda yang sama untuk turunkan Najib.

"Jadi kita perlu bekerjasama. Semua pihak harap berlapang dada seperti yang ditunjukkan Datuk Seri Anwar dan keluarganya.

"Kalau pahit bagi reformis, sudah tentu lagi pahit tuan punya badan (Anwar)," katanya kepada pemberita selepas forum “Wujudkah Demokrasi di Malaysia?” di Shah Alam hari ini.

'Ada kelebihan tersendiri'

Sabtu lalu, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu membuat kemunculan mengejut pada Konvensyen Reformis yang diadakan di Shah Alam.

Kemunculan tokoh 91 tahun itu mengundang sorakan dan ejekan tidak puas hati, termasuk disorak sebagai “firaun”, sebelum diredakan oleh pengerusi majlis.

Konflik kedua-dua pemimpin itu bermula apabila Mahathir ketika menjadi perdana menteri memecat timbalannya Anwar atas dakwaan terlibat kes liwat pertama.

Mereka kemudiannya 'menggantung senjata' setelah 18 tahun selepas bersalaman dan bersetuju bekerjasama demi menjatuhkan Najib.

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia juga mengakui Mahathir tetap mempunyai kelebihan tersendiri.

"Golongan reformasi lihat Tun (Mahathir) ada keterbatasan tapi Tun ada kelebihan di kalangan penyokong tegar Umno, pengundi luar bandar. Kelebihan itu kita patut guna untuk tumbangkan BN.

"Satu-satunya cara nak bebaskan Anwar bila menang pilihan raya. Jadi kita kena fokus ke arah itu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS