Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dana RM90j: Tuduhan Husam tak masuk akal, kata PAS
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 9:17 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Husam Musa berhubung parti itu menerima dana RM90 juta dari Umno sebagai tidak logik.

Ia tidak logik kerana gambar cek RM90 juta itu yang berlegar-legar di internet sejak tahun 2012 tidak mempunyai tandatangan yang menjadi salah satu syarat wajib untuk mana-mana bank menerimanya, jelas beliau.

"Bagaimana cek yang tidak ditanda tangani boleh digunakan untuk memasukkan duit ke dalam mana-mana akaun, tak masuk akal.

"Bodoh benarlah kalau ada bank yang mahu cek yang tidak ditanda tangani," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah HARAP 3.5 PGU di Besut, Terengganu baru-baru ini.

Sebelum ini, Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Mengulas lanjut, Mohd Amar turut menzahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pimpinan PKR yang percaya dengan dakwaan tersebut sedangkan PAS tidak mempercayai dua sabitan kes mahkamah yang dilemparkan terhadap bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kes liwat babitkan Anwar dua kali disabitkan di mahkamah tetapi PAS tak percaya, tiba-tiba PKR boleh percaya PAS ambil duit RM90 juta tanpa ada bukti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS