Persatuan Konsultan Perhubungan Awam Malaysia (PRCAM) hari ini melahirkan kebimbangan mengenai skim "akreditasi sukarela" untuk profesional Perhubungan Awam (PA) di Malaysia yang akhirnya akan menjurus kepada kewujudan satu "piagam" wajib.

PRCAM menegaskan, industri PA di Malaysia memang telah lama mengamalkan sikap terbuka, liberal dan globalisasi, selaras dengan Perjanjian Am Perdagangan dalam Perkhidmatan (GATS) di bawah pemantauan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Status quo ini mestilah dikekalkan sebagai prinsip asas selari dengan pendirian Malaysia mematuhi piawaian dunia bagi mewujudkan persekitaran liberalisasi global sebagaimana yang diamal oleh para profesional industri perhubungan awam," katanya dalam satu kenyataan kepada ahli-ahlinya berhubung skim tersebut.

"Kita memandang berat usaha Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) untuk mempromosikan skim "akreditasi sukarela" bagi pengamal PA yang akhirnya akan menjurus kepada penggubalan satu Piagam, yang bertujuan mewajibkan semua pengamal PA mendaftar dengannya," tambahnya.

Menurutnya lagi, skim "akreditasi sukarela" ini merupakan sebahagian daripada langkah ke arah mewujudkan akreditasi wajib yang akhirnya akan membawa kepada penggubalan undang-undang untuk mengawal selia industri PA di Malaysia.

"PRCAM prihatin terhadap perkembangan ini kerana apa jua bentuk undang-undang seumpama itu akan melanggar prinsip asas perdagangan bebas dalam industri perkhidmatan.

"Sebagai badan yang bertanggungjawab ke atas kebajikan konsultan PA, maka kita akan menghebahkan pendirian PRCAM kepada semua ahli, klien dan semua yang terlibat dalam industri ini.

'Satu langkah ke belakang'

"PRCAM menganggap sebarang langkah untuk menggubalkan undang-undang bagi mengawal selia profesyen PA, sebagai langkah ke belakang, yang bercanggah dengan arus globalisasi dunia tanpa sempadan.

"PRCAM berpendapat, sebarang skim akreditasi hendaklah bersifat sukarela dari segi semangat, intipati dan operasinya.

"Skim akreditasi sukarela ini memang telah wujud dan diamalkan oleh ahli-ahli IPRM dengan meletakkan singkatan MIPR atau FIPR bersebelahan nama mereka dalam kad bisnes masing-masing.

"Skim akreditasi yang benar-benar sukarela perlu dikekalkan dan tidak diubah menjadi Piagam wajib bagi para pengamal PA sebagai satu cara untuk "meningkatkan piawaian industri."

"PRCAM juga mempunyai hasrat yang sama untuk meningkatkan piawaian industri dan kami tetap berpegang teguh kepada pendirian kami bahawa ianya tidak boleh dilaksanakan melalui akreditasi mandatori. Kami berkeyakinan bahawa kuasa pasaran perlu bertindak bebas dan klien menentukan piawaian yang diperlukan.

"Status Piagam, akreditasi mandatori atau undang-undang di bawah apa nama sekalipun, tidak akan meningkatkan piawaian. Peningkatan piawaian membabitkan usaha berterusan oleh semua pihak yang terlibat dalam industri pengamal korporat, klien, konsultan, para akademik dan kesemua usaha ini merangkumi amalan harian, etika dan yang paling penting ialah kredibiliti daripada semua profesional PA dan badan profesional yang berkenaan," tegasnya.

PRCAM mengulangi pendiriannya bahawa ia akan terus bekerjasama dengan IPRM sebagai rakan seperjuangan bagi kebaikan semua pengamal PA, tanpa berkompromi dalam prinsip asas bagi memastikan industri PA di Malaysia mengekalkan amalan terbuka, liberal dan globalisasi.