Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pensyarah luar bantu siasatan panel UM
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 2:33 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Universiti Malaya (UM) telah menjemput beberapa pensyarah luar ke dalam panel lima anggota yang dibentuknya sebelum ini untuk menyiasat dakwaan seorang pensyarah memperlekehkan pelajar India.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin ketika dihubungi Malaysiakini berkata, dalam mesyuaratnya semalam, beliau memutuskan perkara tersebut untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak dengan tidak ada campur tangan pihak pengurusan UM.

"Saya tak boleh komen selagi siasatan tak lengkap kerana sehingga kini kami sedang menyiasatnya, malah untuk berlaku adil kepada pelajar dan pensyarah, saya lepaskan (tanggungjawab menyiasat) kepada panel bebas yang ditubuhkan dengan tidak ada pihak dalaman UM yang terlibat.

"Panel ini akan dianggotai oleh pensyarah universiti luar yang mana kita akan bandingkan keputusan kita dan mereka nanti," kata Mohd Amin.

Sebelum ini, Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) semalam mendesak UM segera menamatkan perkhidmatan pensyarahnya yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar kaum India.

Menurut Setiausaha Agung NGO itu, Mipas S Barathidasan, adalah tidak mencukupi sekadar menggantung atau menukar pensyarah berkenaan ke universiti lain ataupun penukaran ke jabatan agensi lain kerana ini tidak akan menghantar mesej bahawa tingkah laku sedemikian tidak boleh diterima.

Barathidasan merujuk kepada posting Facebook yang menjadi tular mengenai pensyarah UM yang didakwa berkata: "India, saya tak suka India duduk bersama-sama. Jangan bawa budaya Unitar ke sini. India duduk sama-sama lepas itu akan tiru assignment dan plagiarise. Saya kenal India".

Menurut posting yang sama, ini bukan kali pertama pensyarah berkenaan menghina penulis dan pelajar lain.

Mengulas lanjut, Mohd Amin berkata, tempoh lima hari itu juga diberikan kepada panel bebas itu bagi menyiasat dakwaan terbabit, namun, berkemungkinan akan dilanjutkan sekiranya pihak penyiasat memerlukan lanjutan.

"Saya bagi lima hari bermula semalam (Selasa). Bagi saya, biarlah ahli panel (bebas) menjalankan siasatan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak kerana ini isu nasional dan sensitif.

"Jadi, biar jawatankuasa buat rumusan baru kita ambil tindakan seterusnya. Kalau ada elemen (rasis) baru kita ambil tindakan sepatutnya dalam proses perundangan kita sampailah ke (tindakan) tatatertib kalau (didapati) pensyarah itu bersalah. Tapi, kalau sebaliknya pula, kita akan panggil pelajar tersebut," kata Mohd Amin.

Tegas Mohd Amin, pihak universiti sendiri tidak mungkin mengiktiraf pensyarah yang mengamalkan perkauman kerana ia jelas isu yang sensitif di negara ini.

"UM juga tidak akan mengiktiraf pensyarah yang mengamalkan perkauman tetapi semua pihak tahu isu sedemikian begitu sensitif di mana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku dengan memperbesar-besarkan perkara yang kecil hingga menjadi tular.

"Kalau boleh kita hendak rakyat Malaysia ini aman dan hormoni, kita tidak mahu mengapi-apikan. Kalau ada yang bersalah diperingkat awal itu kita hentikan cepat-cepat.

"Tetapi, bagi saya atau awak kadang-kadang kita merasakan ia satu gurauan tapi ada pula pihak lain yang mengaplikasikannya secara berlainan dan tularkannya. Oleh itu, janglanlah dibesar-besarkan isu ini selagi penyiasatan penuh belum lengkap," ujar Mohd Amin.

Lihat Komen
ADS