Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Annuar Musa berkata namanya telah dibersihkan daripada dakwaan terbabit dalam kes kehilangan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) semasa memegang jawatan di kementerian tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa keretanya yang dilaporkan 'ditahan' untuk siasatan, sebenarnya diserahkannya sendiri untuk membantu siasatan kes tersebut.

Kereta itu juga telahpun diserahkan kembali kepadanya, kata Annuar yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan,.

Annuar menegaskan demikian sewaktu bertikam lidah dengan Exco negeri, Husam Musa di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Menurut laporan Bernama, sebelum itu, Husam menuduhnya terlibat dalam rasuah berhubung kehilangan wang PPRT semasa Annuar memegang jawatan menteri.

Ini menyebabkan Annuar terpaksa mencelah beberapa kali walaupun sukar mendapat laluan untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan sering diingatkan Speaker Dewan Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah supaya mendapatkan laluan Husam terlebih dahulu.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita semasa dewan berhenti rehat, Annuar yang juga ketua pembangkang mendakwa, Exco Kerajaan Kelantan sering memberi fakta yang salah semasa sidang DUN kerana mahu menutup kelemahan kerajaan negeri.

Annuar dakwa ada bukti

Beliau juga mendakwa DUN Kelantan juga tidak mesra pembangkang kerana apabila menghadapi tekanan, persidangannya akan ditangguhkan atau diberhentikan secara mendadak untuk waktu rehat.

Sebagai contoh, dakwa Annuar, Husam telah memberi fakta yang salah berhubung pembalakan yang dihalalkan di kawasan hutan simpan kekal.

Sebaliknya, Annuar mendakwa, kegiatan pembalakan itu dijalankan dengan berselindung di sebalik pengeluaran lesen melombong kepada sebuah syarikat pada 2002.

Katanya, beliau mempunyai cukup bukti mengenai kegiatan itu yang didakwanya turut mendapat kerjasama juruperunding bagi mengesahkan kawasan yang dipohon mengandungi emas bagi mempengaruhi Jawatankuasa Mineral Negeri untuk kelulusan.

Annuar juga mendakwa perkara tersebut merupakan rahsia terbuka memandangkan syarikat yang memohon lesen perlombongan itu, dakwanya, tidak mempunyai latarbelakang perlombongan dengan modal berbayarnya juga tidak cukup untuk kegiatan itu.

Berikutan itu, katanya, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan terus membangkitkan perkara ini dalam sidang dewan akan datang kerana jawapan yang diberikan adalah salah.

"Kita akan bawa perkara ini ke pengetahuan rakyat Kelantan dan memberi maklumat awal kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," tambanya.