17 murid cedera dirempuh kereta dalam kawasan sekolah
Seramai 17 murid Sekolah Rendah Kebangsaan Kepala Batas di Kepala Batas cedera dan tiga daripada mereka dimasukkan ke Hospital Kepala Batas, setelah dirempuh kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pesakit mental yang memasuki kawasan sekolah itu pagi ini.
Seramai 17 murid Sekolah Rendah Kebangsaan Kepala Batas di Kepala Batas cedera dan tiga daripada mereka dimasukkan ke Hospital Kepala Batas, setelah dirempuh kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pesakit mental yang memasuki kawasan sekolah itu pagi ini.
Ketiga-tiga murid yang dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut ialah Kuganishan a/l Murty, Muhammad Fariz Fildza Mohd Idza dan Nor Adilllah Roslan, kesemuanya murid Tahun 5, dan mereka merupakan antara yang terperosok di bahagian bawah kereta berkenaan.
Mereka mengalami kecederaan di badan dan dilaporkan dalam keadaan stabil manakala 14 yang lain dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan pesakit luar.
Mereka yang dibenarkan pulang ialah Nor Shafizah Hanim Noor Shaili, Mohd Nur Imran Mohd Shukor, Nor Hidayah Abdul Rahim, Mohd Nur Hafiz Abdul Rahim, Mohd Shafiq Mohamad Suki, Norshaziera Yuhanis Rosli, Fatin Nabihah Zainuddin, Mohd Shahir Ramli, Amirul Nizam Jasni, Hafiz Abu Bakar, kesemuanya murid Tahun 5, Nuraniza Marzuki (Tahun 4), Zuraida Ibrahim, S.Sivasanggari dan Lolam Bigai Shankar (Tahun 6).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mazlan Lazim berkata kejadian itu berlaku pada 11.45 pagi ketika sekumpulan 200 murid Tahun 4, 5 dan 6 selesai menjalani raptai Hari Penyampaian Anugerah sekolah itu yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.
Menurutnya, sebuah kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun memasuki kawasan sekolah itu sebelum membelok ke arah dataran sekolah yang terletak berhampiran tempat murid-murid berkenaan berhimpun bersama-sama beberapa orang guru.
Lelaki itu, yang dikatakan pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental beberapa tahun lalu, memandu keretanya menaiki bahu kaki lima dataran sekolah itu sebelum memecut laju dan merempuh deretan murid-murid yang sedang berada di bahagian bawah sekolah tiga tingkat itu.
Pintu pagar dibuka
Menurut laporan Bernama, skibat rempuhan itu beberapa pelajar bergelimpangan di sekitar tempat kejadian dan mereka kemudiannya dibantu oleh guru-guru sebelum dihantar ke hospital.
Mazlan berkata bahawa sebelum kejadian, pintu pagar sekolah itu, yang terletak lebih 100 meter dari tempat kejadian, memang ditutup dan ia dibuka oleh pengawal keselamatan sekolah pada jam 11.30 pagi untuk membolehkan murid-murid pra-sekolah pulang.
"Ketika itu, pintu pagar dibuka dan ibu bapa masuk untuk menjemput anak-anak mereka dan kereta ini juga turut masuk beberapa minit selepas itu," katanya.
Katanya lelaki itu, seorang penganggur dan merupakan penduduk tempatan, ditahan oleh guru-guru sekolah berkenaan sebelum diserahkan kepada polis kemudiannya.
Mazlan berkata polis menahan lelaki itu menurut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987 dan akan mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Butterworth esok.
"Lelaki ini dilaporkan pernah melanggar lima murid sekolah yang sama di luar kawasan sekolah itu pada 23 Jun lalu dengan sebuah motosikal. Bagaimanapun, murid-murid itu hanya cedera ringan," katanya.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000 serta lesen memandunya digantung selama dua tahun.
Raptai hari anugerah
Mengulas kejadian itu, Guru Besar sekolah itu, Abdul Latiff Saidin bersyukur kerana kesemua murid terbabit itu cuma mengalami cedera ringan walaupun kemalangan itu amat serius.
"Allah telah selamatkan mereka. Saya melihat sendiri bagaimana kereta itu merempuh dalam dewan sekolah dan menyebabkan lima murid kami terperosok bawah kereta sebelum terjatuh dalam longkang," katanya.
Beliau berkata, pada masa kejadian itu, terdapat kira-kira 200 pelajar sedang berada dalam dewan terbuka itu bagi menyaksi dan menyertai raptai Hari Penyampaian Hadiah sekolah itu.
Abdul Latiff berkata semua pelajar dan guru terkejut apabila sebuah kereta tiba-tiba menuju dengan laju ke arah dewan dan cuba merempuh semua orang dan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.
Roslan Fardzil, 41, ayah kepada Nor Adillah, seorang daripada tiga pelajar Tahun 5 yang dimasukkan ke hospital, berkata anaknya itu tidak mahu bercakap mengenai kejadian itu kecuali menangis.
"Alhamdullilah anak saya tidak serius tetapi dia masih terkejut," katanya.

