Kjaan diminta bebas tahanan ISA yang ditahan lebih dua tahun
Kaukus Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia hari ini meminta kerajaan membebaskan segera tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditahan lebih dua tahun atau mendakwa mereka di mahkamah.
Kaukus Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia hari ini meminta kerajaan membebaskan segera tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditahan lebih dua tahun atau mendakwa mereka di mahkamah.
Pengerusi kaukus tersebut, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata lanjutan tempoh tahanan mereka tidak seharusnya dilanjutkan selama dua tahun lagi kerana ia tidak adil terhadap mereka.
Menurut Nazri, delegasi kaukus itu telah melawat pusat tahanan pada 17 Jun lalu serta menemui 115 tahanan untuk meninjau masalah yang mereka hadapi.
"Kebimbangan utama kesemua tahanan itu ialah tentang kebebasan mereka khususnya ketidaktentuan tempoh penahanan," kata Nazri, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Berdasarkan kepada perangkaan yang diperolehi oleh kaukus tersebut ketika melawat Kem Tahanan Kemunting pada 17 Jun lalu, 64 daripada 115 tahanan di situ telah ditahan lebih daripada dua tahun.
Kesemua tahanan tersebut terdiri daripada 68 orang yang disyaki anggota Jemaah Islamiah, sembilan disyaki anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM), 22 ditahan berhubung pemalsuan matawang, 13 berhubung pemalsuan dokumen dan seorang disyaki terbabit dalam penjualan senjata nuklear di pasaran gelap.
Dua daripada adalah wanita. Turut ditahan ialah 14 rakyat Indonesia, tiga rakyat Singapura, dua rakyat Filipina dan seorang rakyat Sri Lanka.
Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen, Nazri berkata para tahanan juga mengadu tentang hukuman berterusan dan layanan teruk oleh pihak berkuasa berikutan kejadian rusuhan di pusat berkenaan pada 8 dan 9 Disember lalu.
Tahanan rakyat asing
Antara ahli kaukus tersebut ialah Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat), Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), Dr Rahman Ismail (BN-Gombak) dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut).
kaukus itu turut mengesyorkan supaya rakyat asing yang ditahan di bawah ISA dihantar pulang ke negara asal mereka tanpa sebarang kelewatan kerana mereka harus dikendalikan oleh kerajaan negara masing-masing.
Pada masa ini, terdapat 14 rakyat Indonesia, tiga rakyat Singapura, tiga rakyat Filipina serta seorang rakyat Sri Lanka ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping sebahagian besar atas pembabitan dalam aktiviti keganasan.
Menurut Nazri lagi, kaukus itu juga menerima 15 memorandum dari tahanan ISA dan satu mesyuarat akan diadakan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan pegawai Jabatan Penjara untuk mendapatkan maklumbalas mereka.
Ditanya sama ada kaukus itu yakin akan mendapatkan reaksi positif daripada kerajaan memandangkan sebelum ini, Suhakam gagal berbuat demikian, Nazri menegaskan isu itu harus diteruskan.
"Kami rasa peluang adalah lebih baik kerana kerajaan juga melihat laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. Kami perlu mengambil kesempatan dari itu," katanya.

