Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam hak asasi tak setuju perintah tangkap Zakir Naik
Diterbitkan:  Mar 2, 2017 4:24 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Peguam hak asasi, Syahredzan Johan tidak setuju dengan tindakan sekumpulan aktivis yang memfailkan tuntutan mahkamah memohon perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah terkenal Zakir Naik.

Beliau berkata, walaupun beberapa individu yang memfailkan saman itu adalah rakan-rakannya dan malah mengucapkan selamat maju jaya kepada peguam Siti Kasim yang adalah antara plaintif kes berkenaan, beliau berpendapat bahawa sebarang tindakan seumpama itu bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara.

"Saya berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat - kita tidak boleh menghalang seseorang hanya kerana kita tidak suka apa yang dia kata," kata Syahredzan dalam Facebook hari ini.

Beliau berkata, sebarang tindakan terhadap Zakir hanya boleh dilakukan jika beliau melanggar undang-undang.

"Betul, jika sememangnya di negara ini Zakir menyebarkan kebencian dan melanggar undang-undang negara, maka tindakan perlu diambil. Tetapi bukannya sebelum itu."

Tambahan pula, Syahredzan melihat persamaan dalam permohonan plaintif untuk mengisytiharkan Zakir sebagai ancaman "keselamatan negara" sebagai cubaan untuk mewajarkan tindakan pencegahan terhadapnya, seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang mahu lebih banyak undang-undang yang mengekang.

"Dan 'keselamatan negara' adalah hujah yang sama yang diberikan oleh kerajaan untuk menyekat kebebasan bercakap dan bersuara selama ini," keluhnya.

Semalam, selain memfailkan tuntutan mahkamah menuntut perintah penangkapan dan pengusiran Zakir, kumpulan aktivis itu juga memohon pembatalan pendakwah itu sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia.

Saman itu difailkan oleh Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS