Tidak ada yang luar biasa jika bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta supaya dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah seperti yang didedahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Ini kerana kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Shafie yang juga adalah Anggota Parlimen Semporna seorang yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas itu dengan baik.

“Apa salah jika Shafeie Apdal mahu jadi ketua menteri Sabah sedangkan ada orang yang tidak lagi popular pun boleh terus jadi perdana menteri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Zainuddin yang juga adalah bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Shafie yang yang meletak jawatan sebagai Naib Presiden Umno dan digugurkan daripada jawatan menterinya seorang wakil rakyat yang popular dan mempunyai hubungan rapat dengan akar umbi.

Malah, beliau percaya Shafie mampu melaksanakan tugas sebagai ketua menteri yang lebih baik daripada ketua menteri sekarang, Datuk Seri Musa Aman.

“Musa hanya dikenali di Sabah. Luar (Sabah) dia tidak banyak (sokongan)...

“Musa bukannya gagal, tapi dia tak sepopular Shafie. Di mana sahaja dia, pergi, sambutannya hebat,” katanya.

Maruah rakyat Sabah

Menurut Zainuddin, Shafie sebagai pemimpin yang rapat dengan akar-umbi tidak kekok apabila beramah mesra dengan rakyat, khususnya golongan bawahan.

“Dia ini bukan datang dari keluarga kaya, senang bergaul,” katanya.

Zainuddin berkata pendedahan Najib bahawa seorang bekas menteri persekutuan yang kini presiden parti pembangkang, pernah menemuinya dan meminta supaya dilantik menjadi ketua menteri Sabah bukannya rahsia.

Najib dalam lawatannya ke Sabah hari ini walaupun tidak menamakan pemimpin terbabit, tetapi jelas merujuk kepada Shafie berkata, permintaan itu sebagai cita-cita peribadi yang mengatasi perjuangan untuk rakyat.

Beliau juga berkata parti politik yang ditubuhkan atas cita-cita peribadi seperti itu tidak akan bertahan lama.

Mengulas lanjut, Zainuddin mengakui pernah mendengar cita-cita Shafie untuk menerajui Sabah tetapi telah ‘berkompromi’ agar tidak berlaku pergelutan di Sabah.

“Dia (Shafie) mahu mengangkat Sabah ke satu tahap baru. Buat masa ini, dia lihat Sabah tidak mendapat layanan sewajarnya dari Putrajaya.

“Dia mahu mengangkat maruah rakyat Sabah, sekurang-kurangnya setaraf Sarawak, bukan tunutan berpisah dari Malaysia tetapi dilayan dengan hormat,” katanya.

Ditanya sama ada Shafie dan Parti Warisan Sabah yang diterajuinya, mampu membuat kejutan pada pilihan raya umum dan negeri akan datang, Zainuddin mengakui beliau tidak mempunyai maklumat.

Namun, katanya, setiap kali Shafie turun berjumpa dengan rakyat, sambutannya agar luar biasa.