Ponteng sekolah dan ketinggalan dalam pelajaran adalah antara masalah yang dikesan banyak berlaku di kawasan petempatan pinggir bandar termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), demikian menurut Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian mereka, punca ponteng bukan sahaja disebabkan kekangan kewangan tetapi juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang anak-anak selain kesibukan seharian, kata Pengerusinya Mohd Firdaus Jamaludin.

Pemerhatian itu katanya dikesan semasa GPMS Wilayah Persekutuan menjalankan program bimbingan pembelajaran di kawasan yang berkenaan.

"Isu anak-anak tidak ke sekolah dan lemah dalam prestasi pelajaran adalah antara cabaran yang kini dihadapi komuniti di kawasan urban khususnya di pinggir bandar.

"Jika dibiarkan berterusan ia pastinya akan memburukkan masa depan kanak-kanak terlibat, namun usaha daripada pihak kami sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini," katanya pada perjumpaan dengan para editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) semalam.

Katanya tambah memburukkan keadaan ialah apabila persatuan diberitahu ada ibu bapa anak-anak itu terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Mohd Firdaus berkata pihaknya kini giat menjalankan program pusat bimbingan atau kelas persediaan di kawasan-kawasan petempatan terpilih untuk membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah.

Menerusi program Kembara Transformasi 50 (TN50), GPMS Wilayah Persekutuan turut menyumbang buku-buku latihan kepada para pelajar yang memerlukan, katanya.

Beliau turut berpandangan kecenderungan melampau kepada hiburan dalam kalangan remaja juga menyebabkan golongan tersebut tidak berminat terhadap pendidikan.

"Apa yang diusahakan sekarang ialah menarik minat golongan ini untuk menyertai program-program motivasi dan kesukarelawan yang kami anjurkan," katanya.

Beliau juga berkata GPMS Wilayah Persekutuan mengadakan pelbagai aktiviti untuk tujuan itu termasuk 'Sesi Teh Tarik' dengan Kapten Mohd Firdaus Faisal Mohamad, kapten kapal Nautical Aliya yang membawa 'Food Flotilla for Myanmar', yang akan diadakan hari ini di Teh Tarik Place, Jalan Pahang pada 9 malam.

- Bernama