Asrin Mohsin, 18, remaja yang koma akibat dibelasah sekumpulan lelaki di kawasan Persiaran Gurney Sabtu lalu, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) awal pagi ini selepas berada dalam keadaan koma selama empat hari.

Asrin yang berasal dari Medan Tengku, Jelutong, Pulau Pinang cedera parah akibat tengkorak kepalanya pecah, dan doktor yang merawatnya mengesahkan otak Asrin tidak lagi berfungsi, dan dia terpaksa menggunakan sistem bantuan hayat.

Bapanya, Mohsin Hassan, 61, ketika ditemui berkata, jenazah Asrin akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jelutong selepas solat zuhur hari ini.

"Saya reda dengan apa yang berlaku ke atas anak saya dan menerima ini sebagai takdir yang ditentukan oleh Allah, tetapi saya berharap mereka yang terlibat akan dikenakan hukuman yang setimpal," katanya.

Katanya, beliau berharap polis dapat menahan mereka yang terbabit membunuh anaknya dengan segera supaya ia tidak berlaku kepada anak orang lain.

Ketua Polis Negeri, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata beliau menerima laporan yang Asrin meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi, dan menurutnya polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagi kesalahan membunuh.

Bantu siasatan

"Polis percaya penangkapan seorang remaja lelaki yang berumur 22 tahun semalam dapat membantu siasatan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Wan juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi Sabtu lalu, Asrin diserang sekumpulan remaja yang dipercayai dari Tanjong Tokong ketika beliau sedang bersiar-siar bersama rakannya di Persiaran Gurney.

Asrin yang tidak sempat melarikan diri dibelasah bertubi-tubi dengan topi keledar dan senjata lain sehingga menyebabkan beliau mengalami keretakan tempurung kepala, cedera di bahagian hidung, tengkuk dan muka.

Beliau dipercayai menjadi mangsa selepas kumpulan remaja dari Tanjong Tokong itu menyangka beliau yang telah menegur mereka kerana mengusik seorang remaja perempuan di situ.

Pelajar ditahan

Sementara itu, polis menahan seorang pelajar sekolah menengah dan sedang mengesan empat lelaki untuk membantu siasatan kes serangan sehingga menyebabkan kematian Asrin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC II Syed Ismail Syed Azizan berkata pelajar tingkatan lima itu ditahan pada kira-kira jam 10.30 pagi di sekolahnya di Tanjong Bungah, Pulau Pinang hari ini.

Setakat ini, katanya, dua orang telah ditahan termasuk seorang lelaki berumur 22 tahun dari Teluk Bahang yang menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, beliau berkata kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak dikenali Asrin.

Selain itu, katanya, polis sedang mengesan empat lelaki dari Tanjong Tokong berusia antara 18 dan 21 tahun dipercayai kumpulan yang menyerang Asrin untuk membantu siasatan.

Syed Ismail berkata keempat-empat lelaki itu ialah Abdul Aziz Abdul Halim, 19, yang beralamat di 273 Tanjong Tokong; Mohd Faizal Mohd Noor, 21, yang beralamat di 279B Tanjong Tokong; Mohd Radzi Anuar, 19, (214K Jalan Tanjong Tokong), dan Shaik Mohd Fadzil Sikh (Sikh) Abdullah, 20, beralamat di 469 Jalan Tanjong Tokong Lama.

Beliau berkata salah seorang daripada keempat-empat lelaki itu iaitu Mohd Faizal mempunyai rekod jenayah kerana terlibat dengan kes kecurian motosikal awal tahun ini.

Katanya, polis yakin dapat menyelesaikan kes ini dengan segera berpandukan maklumat yang diperolehi daripada saksi terutama daripada rakan mangsa yang berada di tempat kejadian dan mengenali beberapa orang yang menyerang mangsa.