Calon pilihanraya BN Ktan akan diperkenal dua tahun lebih awal
Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengeluarkan manifesto bagi pilihanraya umum akan datang lebih awal untuk membolehkan rakyat mengetahui dengan jelas segala program yang hendak dilaksanakannya sebaik memerintah negeri itu.
Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengeluarkan manifesto bagi pilihanraya umum akan datang lebih awal untuk membolehkan rakyat mengetahui dengan jelas segala program yang hendak dilaksanakannya sebaik memerintah negeri itu.
Pengerusinya Datuk Annuar Musa berkata bakal-bakal calon BN pada pilihanraya umum nanti juga akan diperkenalkan kepada umum sekurang-kurang dua tahun lebih awal dari tarikh pilihanraya diadakan.
"Inilah langkah BN untuk menentukan rakyat tahu rancangan dan program yang hendak dilaksanakan di Kelantan, kita akan beritahu seawal mungkin," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena hari penubuhan BN Kelantan di sini malam tadi.
Menurut Annuar beberapa rancangan telah diatur oleh BN negeri dalam usaha menjadikan Kelantan antara yang termaju di Malaysia yang diselaraskan dengan kehendak semua kaum termasuk Cina, India dan Siam.
Untuk itu, katanya, kerjasama erat yang terjalin antara parti-parti komponen BN sekarang perlu dipertingkatkan agar kekuatan dan perpaduan menjadi lebih teguh.
Rakyat kecewa
Pemimpin-pemimpin parti komponen BN negeri menyatakan keyakinan terhadap kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan arus perubahan yang dikehendaki oleh seluruh rakyat.
Timbalan Pengerusi MCA Kelantan Leong Su Siang berkata sepanjang 14 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, rakyat merasa kecewa kerana parti itu tidak mampu membawa pembangunan apatah lagi memajukan negeri itu setanding dengan negeri-negeri lain.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengerusi MIC Kelantan M. Kupusamy berharap
keyakinan lebih separuh bilangan penduduk Kelantan terhadap BN perlu dikekalkan sehingga pilihan raya nanti.
"Walaupun kita tidak menang pada pilihan raya lepas, tetapi kita menjadi pembangkang yang berkesan dalam Dewan Undangan Negeri," katanya.
Pengerusi Gerakan Kelantan Datuk Ng Chin Chin berkata pemimpin-pemimpin BN yang berpandangan jauh telah mewujudkan perkongsian kuasa yang baik dan terjamin sehingga sekarang.

