Seorang pemimpin PAS menulis kepada Salahuddin Ayub untuk mengingatkan beliau megenai "kasih sayang" ahli parti itu kepadanya.

Melalui surat terbuka itu, Dr Riduan Mohamad Nor bercerita bagaimana pimpinan Dewan Pemuda PAS mencadangkan timbalan presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu bertanding di kerusi selamat pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Kata Riduan, Salahuddin dinamakan bertanding di kerusi parlimen Kubang Kerian supaya boleh menjadi jurubicara ummah yang berkesan.

"Mengapa saya bangkitkan isu pencalonan ini? Kerana saya mahu Abang Din tak lupa kasih sayang kami pada Abang Din yang seakan melupakan sejarah ini," katanya melalui kemas kini statusnya di Facebook semalam.

Salahuddin yang lahir di Pontian, Johor, pernah dilantik ke jawatan naib presiden PAS sebelum diketepikan beramai-ramai oleh perwakilan pada pemilihan parti itu pada 2015.

Turut tersingkir pada pemilihan yang menyaksikan kumpulan konservatif menguasai PAS ialah Mohamad Sabu yang sebelum itu berjawatan timbalan presiden.

Bersama beberapa pimpinan lain, Mohamad Sabu serta Salahuddin kemudian menubuhkan AMANAH yang kini membentuk Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP.

Berdarah likat Umno

PAS pula yang sebelum itu bekerjasama dengan kedua-dua parti terbabit membawa haluan sendiri dan setakat ini belum menampakkan bersedia kembali bekerjasama dengan parti pembangkang lain.

Riduan yang kini menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS berkata Salahuddin menikmati keadaan yang selesa sebagai anggota parlimen selepas memenangi kerusi Kubang Kerian tetapi sebahagian daripada exco Dewan Pemuda PAS "hidup sebagai orang miskin".

"Ada yang dimarahi dalam mesyuarat kerana terlewat hadir (selepas) menghadiri kuliah dhuha.

"Semua anak buah Abang Din tak pernah berasa kecil hati ditegur walaupun kehidupan mereka ala kadar.

"Ustaz Azli Toliban (Norazli Musa) semenjak muda sehingga tua tetap berdengkur dalam bas ekspres, menyambangi keseluruh negara berdakwah, bermesyuarat, menghadiri program-program parti," katanya.

Kata Riduan, dia menulis surat terbuka itu kerana mendapati Salahuddin "semakin galak menyerang PAS", malah "menista" parti berkenaan.

Sikap Salahuddin juga, kata Riduan, agak menghairankan kerana menyerang PAS secara berterusan sejak meninggalkan PAS, termasuk menggelar parti itu sebagai gerakan takfiri (mengkafirkan orang lain).

Riduan secara bersahaja turut menyatakan bagaimana Salahuddin sebenarnya menyertai PAS pada 1980-an daripada keluarga "berdarah likat Umno".

Riduan juga menjelaskan Salahuddin pernah berasa bimbang dengan sebahagian pemimpin muda yang memiliki kereta hebat.

"Saya kira Abang Din sendiri maklum mereka mempunyai perniagaan sendiri untuk menyara keluarga dan membantu perjuangan.

"Menjadi motivator, memiliki rangkaian perniagaan, penasihat Syariah dan pelbagai ruang untuk meraih rezeki yang halal," katanya.

Turut menarik perhatian dalam surat terbuka itu ialah bagaimana Riduan mendakwa selepas muktamar ke-61 PAS pada 2015 berakhir (dan sebahagian pimpinan parti tersingkir) tiada lagi maklumat dalaman mesyuarat bocor kepada orang luar.

"Ahli Jawatankuasa Pusat PAS bermesyuarat dengan penuh harmoni, bersepuh ukhuwwah, berulam ceria dan mematuhi arahan yang diputuskan.

"Sangat kontradik dengan apa yang berlaku dalam beberapa penggal sebelum ini dan ini melonjakkan semangat kami untuk terus berkerja bagi memenangkan perjuangan Islam," katanya.