Umno perlu memberi keadilan kepada Tan Sri Mohd Isa Samad yang digantung keahlian dan jawatan naib presiden selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana sukar hendak dipercayai dakwaan beliau terbabit dengan politik wang dalam pemilihan parti tahun lalu, kata Setiausaha Politiknya, Salim Sharif.

Beliau yang juga Pemuda Umno Jempol yang turut digantung keahliannya selama tiga tahun, menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin Umno Jumaat lalu dibuat secara `tergesa-gesa' dan tidak disokong oleh fakta yang kuat.

"Sebahagian hujah penghukuman yang dibuat oleh ahli lembaga itu sukar diterima, manakala jawaban balas yang dibuat oleh Isa pula tidak diterima," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Jumaat lalu Lembaga Disiplin Umno mengenakan hukuman penggantungan selama enam tahun ke atas Isa kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan parti September lalu. Manakala Salim pula digantung tiga tahun kerana didapati bersalah menjadi ejen kempen Isa.

Pengerusi lembaga, Tengku Ahmad Ritahuddeen Ismail ketika mengumumkan perkara itu Isnin lalu berkata Isa bersalah terhadap lima daripada sembilan tuduhan iaitu menggunakan ejen, mengadakan perhimpunan dan menggunakan wang dalam kempen bertanding jawatan naib presiden Umno lalu.

Salim berkata, Isa akan menghantar surat rayuan kepada Panel Rayuan Umno selewat-lewatnya awal minggu depan berhubung penggantungannya itu.

Ketika ini, tegasnya, urusan menyediakan surat rayuan tersebut sedang dibuat dan akan mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan.

"Fokus utama kandungan surat rayuan itu ialah berkisar kepada program Tan Sri Isa sepanjang bulan September 2004, iaitu semasa pemilihan jawatan Umno diadakan. Tarikh tersebut menjadi asas kepada hukuman penggantungan enam tahun ke atas beliau.

Kedudukan dalam kabinet

"Kami membuat surat rayuan itu sebaik mungkin bagi membolehkan Tan Sri Isa mendapat keadilan daripada hukuman penggantungan tersebut," katanya lagi.

Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Isa meletakkan semua jawatannya dalam parti bagi menjaga nama baik parti itu. Manakala kedudukan Isa dalam kabinet, kata Perdana Menteri, akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok.

Salim berkata, buat masa ini Isa mengambil cuti kira-kira seminggu bagi memberi tumpuan kepada keluarganya, terutama isterinya, Puan Seri Hazizah Tumin yang baru menjalani rawatan perubatan di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, Isa menghadiri satu majis rasmi mengenai belia di Jempol hari ini dan menurut Salim, ia adalah program lama Isa yang diatur beberapa bulan lalu.

Salim berkata, Isa akan menerima sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Panel Rayuan Umno.

"Tan Sri Isa tidak mempunyai kem dalam Umno dan kemenangannya dalam pemilihan jawatan naib presiden lalu adalah kerana kewibawaan dan kepimpinannya.

"Beliau seorang pemimpin yang tidak mengenal putus asa, meskipun pernah kalah dalam dua percubaan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno dan naib presiden sebelum itu. Tan Sri Isa mengutamakan kepentingan parti dan sentiasa bekerja kuat untuk Umno," katanya lagi.

Salim berkata, Isa mendapat nombor lima dalam pencalonan jawatan naib presiden tetapi mendapat tempat pertama dalam pemilihan jawatan tersebut.

Dua lagi Naib Presiden Umno yang menang dalam pemilihan itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan penyandang jawatan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.