Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH sokong titah bebaskan Johor daripada rasuah
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 11:59 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang mahu menjadikan negeri Johor bebas dan bersih daripada amalan rasuah, kata timbalan presiden parti itu, Salahuddin Ayub.

“Kenyataan tegas Sultan Johor, Tuanku Ibrahim Iskandar yang memberikan dukungan sepenuhnya kepada SPRM Johor untuk bertindak dengan lebih drastik terhadap isu rasuah hartanah yang melibatkan pentadbiran Datuk Seri Khalid Nordin adalah merupakan satu sikap sangat bertepatan dengan harapan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan mengamalkan urus tadbir yang baik dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, ketegasan dan komitmen SPRM akan lebih berkesan apabila baginda sendiri sebagai payung negeri dan rakyat turut bersama memberikan iltizam untuk menjadikan pentadbiran negeri Johor besih dan bebas dari gejala rasuah.

“AMANAH akan sentiasa memberikan komitmen untuk mendidik masyarakat untuk bersama bangun menentang budaya rasuah sekaligus memperjuangkan sebuah negara yang mengamalkan 'good governance' dan bebas rasuah,” katanya.

Salahuddin turut meminta rakyat Johor untuk menjadi menjadi benteng dan berani memerangi "virus kleptokrasi" pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar tidak menular di Johor.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias dilaporkan berkata tindakan drastik akan diambil tidak lama lagi bagi membersihkan negeri itu daripada rasuah kerana ia sudah lama terbiar.

SPRM pada 25 Februari lalu merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM500,000.

Mereka turut membekukan 45 akaun milik suspek yang mengandungi simpanan sekitar RM15.5 juta, dalam kes melibatkan rasuah dan penyalahgunaan dikaitkan dengan hartanah di Johor.

Enam individu yang berusia antara 25 dan 50 tahun turut ditahan berhubung kes itu.

Mereka yang ditahan termasuk anak dan pegawai khas exco kerajaan negeri, Datuk Abd Latif Bandi, dua pemaju, peguam dan seorang orang awam yang dikatakan terlibat dalam kes itu.

Abd Latif kini bercuti sementara untuk "membersihkan namanya".

The New Straits Times pada 1 Mac memetik sumber yang berkata Sultan Ibrahim "berang" berhubung perkara itu dan menitahkan exco berkenaan untuk "menghadap" baginda.

Lihat Komen
ADS