Hasil tangkapan laut meningkat mendadak sebanyak dua kali ganda di kawasan yang terlibat dengan bencana tsunami di Kuala Kedah, Tanjong Dawai dan Langkawi berbanding sebelum tragedi itu.

Hasil tangkapan laut di Kuala Kedah pada Disember tahun lalu ialah 220.43 tan metrik bernilai RM547,525 manakala pada Januari tahun ini, jumlahnya meningkat kepada 506.90 tan metrik bernilai RM1,080,122.

Jurucakap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) cawangan Kedah mengesahkan pendapatan nelayan yang menganggotai Persatuan Nelayan kawasan meningkat.

Katanya, hasil tangkapan nelayan Tanjong Dawai yang turut meliputi Kota Kuala Muda, kawasan yang paling teruk dilanda tsunami, juga meningkat kepada RM1,043,075 Januari lalu, berbanding RM762,588 bulan sebelumnya.

Beliau berkata, LKIM tidak mempunyai rekod bagi tangkapan hasil laut di Langkawi tetapi difahamkan ia juga meningkat Januari lalu berbanding bulan sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Jusoh Awang berkata peningkatan tangkapan hasil laut itu bukanlah semata-mata kerana tsunami, tetapi jumlah tangkapan bulan Januari selalunya lebih daripada bulan lain.

Katanya, jumlah tangkapan hasil laut akan kembali berkurangan antara Mac hingga April.

Rahmat pada nelayan

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, peningkatan jumlah tangkapan hasil laut selepas tragedi tsunami itu merupakan satu rahmat besar bagi golongan nelayan yang kesempitan hidup setelah bot serta peralatan tangkapan ikan rosak dipukul ombak besar berkenaan.

Selain itu, katanya, kemunculan hidupan laut lain seperti kepah di sepanjang pesisiran pantai Kota Kuala Muda dan siput di Langkawi dalam kuantiti yang luar biasa, turut menambah punca pendapatan nelayan.

Ketika ini, katanya, hanya 20 peratus daripada 6,437 nelayan yang terbabit dalam bencana tsunami di negeri ini masih belum turun ke laut kerana masih menunggu bot serta peralatan lain siap diperbaiki.

Terdapat 3,516 nelayan menganggotai Persatuan Nelayan Kawasan (PMK) Kuala Kedah diikuti 1,013 bagi PNK Tanjong Dawai dan 1,908 di PNK Langkawi.