Utusan 'hina' kewartawanan M'sia, kata Kit Siang
Pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang hari ini sekali lagi membidas Utusan Malaysia yang dimiliki Umno dengan menyifatkan akhbar tersebut sebagai penghinaan sebenar kepada kewartawanan negara ini.
"Utusan Malaysia adalah penghinaan sebenar ke atas kewartawanan Malaysia - tidak siar sepatah pun jawapan saya bagi menjawab serangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai dakwaan 'ali baba'.
"Tetapi (Utusan Malaysia) tumpukan hampir separuh muka surat dalam menyiarkan serangan Najib ke atas saya," kata beliau dalam kenyataan.
Selain itu, tanya Lim, apakah Utusan Malaysia akan menyiarkan jawapan beliau mengenai dakwaan mesyuarat rahsia antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak pernah berlaku.
"Tidak ada perjanjian seperti itu kerana saya tidak pernah bincang dengan Mahathir siapa yang akan menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kalahkan Umno, BN pada pilihan raya umum ke-14," katanya.
Baru-baru ini, Najib menyifatkan kesepakatan pembangkang di Malaysia seperti pakatan ali baba kerana tidak mempunyai persefahaman untuk memilih siapa bakal perdana menteri jika mereka mendapat kuasa.
Beliau juga menyifatkan pembangkang sebagai pelik kerana mereka hanya bersetuju untuk memilih timbalan perdana menteri, menjadi individu paling berkuasa, kerana dia yang akan menentukan siapa bakal perdana menteri.
"Yang paling peliknya, timbalan perdana menteri yang akan memilih siapa yang akan jadi perdana menteri. Ini adalah ali baba, pembangkang adalah 'ali baba'," kata Najib ketika berucap merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Semalam, Lim menjawab kenyataan Najib dengan menggunakan istilah yang sama dalam menggambarkan hubungan perdana menteri dengan ahli perniagaan Jho Low.
"Najib sendiri yang bertanggungjawab mewujudkan perkongsian 'ali baba' terbesar dan paling jahat di Malaysia - 'Najib-Jho Low' berpaksikan konsep ali baba yang melonjakkan Malaysia kepada kleptokrasi global.
"(Ini terlibat) skandal kewangan terbesar di seluruh dunia sejak kebelakangan ini, skandal pengubahan wang haram antarabangsa 1MDB bernilai berbilion dolar," katanya.
Mengulas lanjut, Lim berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita terhadap para penjawat awam yang melakukan jenayah rasuah semasa bertitah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 hari ini.
"Rakyat Malaysia perlu bersatu dan menggerakkan usaha untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi global. Untuk mencapai matlamat ini, media termasuk Utusan Malaysia perlu memainkan peranan yang bertanggungjawab untuk tidak terbitkan berita palsu dan pembohongan serta pendustaan semata-mata.
"Adakah pengarang Utusan Malaysia akan menjawab atau lari bersembunyi," tanya Lim lagi.

