Terjemahan Kerajaan mempunyai alasan yang kukuh untuk melanjutkan penahanan sesetengah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye hari ini.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas gesaan Kaukus Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia semalam supaya dibebaskan tahanan yang ditahan lebih daripada dua tahun.

"Semakan (penahanan) mereka sentiasa dilakukan dan berdasarkan kepada laporan daripada pelbagai pihak berkuasa berkenaan (dan keputusan akan dibuat) sama ada mereka masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

"Jika mereka masih menjadi ancaman, maka penahanan mereka akan dilanjutkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, sambil menafikan yang kerajaan bersikap prejudis dalam isu tersebut.

Sesetengah tahanan ISA telah mempersoalkan tindakan kerajaan untuk terus menahan mereka manakala beberapa pemimpin kanan militan telah dibebaskan.

"Saya tidak fikir terdapat perbezaan antara ikan besar dan ikan kecil (di kalangan tahanan). (Pembebasan mereka) adalah berdasarkan ancaman mereka kepada keselamatan negara dan mengikut prosidurnya," tambahnya.

Tahanan warga asing

Chia tidak menerang lebih lanjut mengenai kriteria bagi pembebasan, kecuali berkata lembaga semakan akan membuat perakuan selepas mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa berkenaan, termasuk dari pihak polis.

Lembaga semakan yang ditugaskan membuat perakuan sama ada membebas atau melanjutkan tahanan kemudiannya akan mengemukakan perakuannya kepada menteri keselamatan dalam negeri, yang membuat keputusan muktamad.

Mengenai gesaan kaukus Parlimen itu supaya rakyat asing yang ditahan di bawah ISA dihantar pulang ke negara masing-masing, Chia berkata, kerajaan tidak akan berbuat demikian kerana penahanan mereka dibuat mengikut undang-undang Malaysia.

"Bagi kita, sebarang ancaman kepada keselamatan negara, sama ada rakyat tempatan atau rakyat asing, akan ditangani mengikut undang-undang negara ini. Buat masa ini, undang-undang yang ada membenarkan penahanan untuk tujuan pencegahan dan ianya adalah dalam rangka perundangan.

"Jika kita membebaskan mereka untuk pulang negara mereka, persoalan ialah apa akan berlaku selepas itu? Saya rasa setiap negara mempunyai caranya tersendiri, jika mereka ditangkap di Malaysia, maka Malaysia akan menanganinya mengiikut caranya sendiri, dan tidak melepaskan masala itu kepada negara lain," tambahnya.

Chia berkata, kementeriannya akan meneliti perakuan-perakuan kaukus tersebut mengikut prosidur sedia ada apabila menerimanya.