Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata beliau masih belum menerima surat perletakan jawatan daripada Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Abdul Samad, yang digantung keanggotaannya dalam parti.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata beliau tidak memberi apa-apa arahan kepada Isa mengenai bila beliau harus menghulurkan surat peletakan jawatannya daripada semua jawatan parti.

"Saya tidak tahu, ia terpulang kepadanya. Saya tidak menggariskannya, saya tidak memberikan apa-apa arahan khusus.

"Saya tahu beliau menyedari peraturan yang kita ada. Sebagai naib presiden parti, sebagai seorang ahli jawatankuasa pengurusan Umno, beliau sedar sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, Abdullah ditanya sama ada Isa, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya semasa mesyuarat kabinet pagi ini.

"Hari ini beliau bercuti. Beliau tidak hadir dalam mesyuarat kabinet," kata Abdullah.

Isnin lalu, Abdullah berkata Isa, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, itu yang didapati bersalah oleh Lembaga Disipin Umno kerana terlibat dalam politik wang perlu berundur daripada semua jawatannya dalam parti.

"Semua. Kita tak ada dua jenis peraturan, untuk yang besar, untuk yang kecil, untuk yang tinggi, untuk yang rendah... tak ada. Peraturan dasar parti adalah sama untuk semua ahli parti," katanya.

Ditanya sama ada akan berlaku rombakan kabinet, Abdullah berkata: "saya tak fikir langsung pasal tu".

Jumaat lalu, Lembaga Disiplin mengumumkan Mohd Isa digantung keanggotaannya daripada Umno selama enam tahun kerana melanggar tataetika parti semasa pemilihan Umno tahun lalu.

Isa minta wartawan pulang

Sementara itu, Isa menasihatkan para wartawan supaya pulang kerana beliau tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai penggantungan keahliannya dalam Umno selepas didapati bersalah terbabit dengan politik wang.

Katanya, beliau bimbang dengan kesihatan wartawan yang menunggu di bawah panas terik dan berkampung di hadapan rumahnya,

Isa berkata, beliau memahami tugas wartawan untuk mendapatkan ulasannya tetapi tidak akan memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Beritahu kawan-kawan jangan tunggu lagi, nanti sakit pula duduk di bawah matahari panas terik itu," kata bekas naib presiden Umno itu ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga meminta jurufoto menggunakan gambar lama yang sudah diambil ketika diminta untuk keluar dari rumahnya supaya jurugambar boleh mengambil gambar terbaru beliau.

Sekumpulan wartawan dari pelbagai organisasi media termasuk yang datang dari ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur mula "berkampung" di hadapan rumah Mohd Isa di Nilai Spring Villa, berdekatan Nilai Spring Villa & Golf Resort di Bandar Baru Nilai sejak Sabtu lalu.

Mereka "berkampung" berikutan laporan penggantungan Mohd Isa daripada menjadi anggota dan memegang jawatan parti selama enam tahun atau dua penggal oleh Lembaga Disiplin Umno kerana melanggar tataetika parti semasa pemilihan Umno pada tahun lalu.

Sejak beliau digantung keanggotaan itu, Mohd Isa belum lagi berdepan dengan wartawan dan mereka yang dapat menghubunginya menerusi telefon juga hampa kerana beliau enggan mengulas lanjut.

Mohd Isa yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang mempunyai masa sehingga 10 Julai ini bagi mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu dan tidak mahu memberi komen samada sudah menyerahkan rayuan itu kepada Lembaga Rayuan Umno ataupun belum.

Semalam, Mohd Isa menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno di Putrajaya dan Abdullah meminta beliau mengemukakan rayuan berkenaan kepada Lembaga Rayuan Umno dengan segera.

Mohd Isa sehingga kini masih ahli Parlimen Jempol dan Menteri Wilayah Persekutuan.