'Usir Duta M'sia, tindakan balas Korea Utara normal'
Bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi Korea Utara untuk mengisytiharkan Duta Malaysia ke republik itu sebagai 'persona non grata' bagi membalas dendam, kata Wisma Putra.
"Tindakan timbal balik adalah perkara biasa dalam diplomasi," kata Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala, Raja Nurshirwan Zainal Abidin dalam satu kenyataan.
"Perlu diingatkan bahawa duta Malaysia telah dipanggil balik oleh kerajaan. Beliau kini di Malaysia dan telah berada di Malaysia untuk beberapa lama," katanya.
Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan bahawa negara itu mengisytiharkan Duta Malaysia sebagai persona non grata (orang yang tidak dikehendaki).
Tindakan itu dibuat selepas Wisma Putra mengusir Kang Chol, duta Korea Utara di Malaysia.
Beliau meninggalkan negara ini melalui penerbangan ke Beijing hari ini.
Bercakap kepada pemberita di KLIA2, beliau melahirkan rasa kesal atas pengusiran yang akan menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Kang Chol dipecat kerana kenyataan "biadap" berhubung siasatan Malaysia ke atas kematian Kim Jong-nam.
Pihak berkuasa berkata, Jong-nam, saudara tiri Kim Jong-un dibunuh di KLIA2 pada 13 Februari.
Laporan bedah siasat menunjukkan beliau meninggal dunia akibat keracunan menerusi bahan yang mempunyai kualiti yang konsisten dengan ejen saraf VX.
Korea Utara menimbulkan keraguan ke atas siasatan Malaysia dan menafikan sebarang campur tangan dalam kematian Jong-nam.
Seorang wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia didakwa berhubung pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Sepang minggu lepas.
Polis mencari lebih warga Korea Utara berkaitan kes itu, termasuk diplomat.
Satu delegasi peringkat tinggi dari Pyongyang berada di Kuala Lumpur berhubung perkara itu.

