Polis sedang menyiasat tiga petunjuk berhubung penculikan paderi Raymond Koh, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Antara sudut sedang dikaji itu, katanya, ialah sama ada ini berkaitan dengan hal peribadi.

"Kita harap pihak keluarga akan tampil beritahu kita apa yang mereka tidak beritahu," kata Khalid pada sidang akhbar di Pulau Pinang pagi ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata, polis juga menyiasat sama ada kes itu ada kaitan dengan kumpulan pelampau atau sama ada paderi berkenaan diculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Ketua Polis Negara sekali lagi menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan khabar angin atau membuat spekulasi mengenai kes tersebut kerana ini boleh membahayakan paderi itu.

"Terang-terangan, saya kata ‘shut up’ (diam). Biar polis menyiasat dan jangan susahkan kerja kami. Jangan beri sebarang cadangan, menghasut atau menjadikan keadaan lebih tegang.

"Kita sentiasa ingatkan media, apabila berhubung kes penculikan untuk wang tebusan, jangan cakap terlalu banyak, biarkan kita jalankan kerja.

"Dan di sini, orang ramai nyalakan lilin. Ini hanya akan membahayakan paderi itu," katanya.

Khalid juga berkata, dalam kes-kes tertentu, penculik menahan mangsa selama berbulan-bulan sebelum meminta wang tebusan.

Beliau turut menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan isu kehilangan paderi di Shah Alam, tiga minggu lalu itu.

"Mereka (ahli politik) perlu berhenti membuat spekulasi dalam kes ini. Biar pihak polis jalankan siasatan dahulu.

"Lebih menghairankan, bagaimana ahli politik terbabit boleh menyuarakan hasrat mewakili dalam rundingan kes berkenaan, sedangkan tiada sebarang maklum balas diterima daripada penculik," katanya.

Beliau pada sidang akhbar itu juga berkata mesej penemuan mayat paderi Raymond Koh yang tular di media sosial tidak benar.

[Baca berita penuh]