Universiti Teknologi Mara akan menimbang semula hukuman memecat aktivis pelajar, Rafzan Ramli, baru-baru ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pesuruhjaya badan itu Profesor Hamdan Adnan memberitahu malaysiakini , pegawai UiTM telah memaklumkan perkara itu dalam mesyuarat dengannya pagi tadi.

Suhakam dan UiTM sebelum itu mengadakan mesyuarat selama dua jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.

Selain Hamdan, Suhakam turut disertai dua lagi pesuruhjaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan Profesor Mehrun Siraj, sementara universiti itu diwakili penasihat undang-undang Profesor Dr Shad Saleem Faruqi.

"Apa yang kita (Suhakam) diberitahu adalah, universiti itu dalam proses menimbang semula hukuman yang telah dikenakan, mungkin pelajar akan dipanggil semula oleh jawatankuasa tatatertib," kata Hamdan.

Pelajar tahun dua itu dipecat serta-merta 22 Jun dalam perbicaraan tatatertib yang ringkas selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan itu di depan Masjid Negara pada awal bulan itu. Beliau membuat aduan kepada Suhakam sehari selepas disingkirkan.

Rafzan kini juga sedang menunggu keputusan rayuannya daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau dan lima pelajar lain ditahan hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua pelajar itu dikehendaki melaporkan diri semula di balai yang sama pada 19 Julai selepas berbuat demikian hari ini bagi kali kedua.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini mendesak pihak berkenaan menghentikan pencabulan terhadap hak asasi pelajar.

Penyelaras pertubuhan hak asasi itu, Shaifulizan Shaharuddin, menggesa UiTM mengambil semula Rafzan sebagai pelajar.

Suaram juga mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang dianggap menindas pelajar.

Sementara Pengerusi DAP Lim Kit Siang pula mengkritik Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad yang menggesa, dua hari lalu, semua pusat pengajian tinggi agar tidak menerima pelajar yang pernah disingkirkan.

Menurut Lim, pengumuman Musa itu ibarat "hukuman mati" dan dasar yang diamalkan oleh kementerian menyalahi Perkara 26 dalam Perisytiharan Sedunia Hak-hak Asasi Manusia yang menyebutkan "semua orang berhak untuk mendapatkan pendidikan."