MCA: Kabinet bincang kes penculikan paderi
Jemaah menteri memandang serius kes kehilangan paderi Raymond Koh sejak 13 Februari lalu dan mengarahkan seorang menteri untuk berjumpa dengan keluarganya, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
"Kabinet membincangkan kes kehilangan itu dan ini disususli dengan lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dengan keluarga paderi yang hilang itu.
"Kami amat bersimpati dengan keluarga paderi itu. Kerajaan amat memandang berat kes ini.
"Pihak polis telah diarahkan untuk menyiasat kes ini dengan teliti dan segera untuk mencari di mana paderi Koh," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, dilaporkan berikutan pertemuan menteri berkenaan dan polis, keluarga paderi yang diculik itu diberi jaminan bahawa kes berkenaan adalah keutamaan.
Wee berkata MCA amat "prihatin" berhubung kejadian itu dan telah menimbulkannya dengan Ketua Polis Negara, tan sri Khalid Abu Bakar.
"Khalid memberi jaminan kepada kita bahawa kes ini menjadi keutamaan polis," katanya.

