PARLIMEN I Tidak perlu menunggu sehingga tahun 2050 untuk wanita diangkat menjadi perdana menteri Malaysia kerana pembangkang bersedia untuk berbuat demikian selepas pilihan raya umum ke-14, kata ahli Parlimen DAP hari ini.

"Kami (pembangkang) bersedia untuk menyokong Permatang Pauh (Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sebagai perdana menteri jika mendapat mandat.

"Tidak perlu tunggu 2050," kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke ketika membahaskan titah ucapan diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mengharapkan Malaysia bakal memiliki perdana menteri wanita yang pertama menjelang tahun 2050.

Khairy dilaporkan berkata demikian dalam mesej sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini.

Tambah Loke, kenyataan Khairy itu mencerminkan minda BN yang negatif.

"Ia melambangkan minda BN bahawa wanita hari ini tidak layak untuk menjadi perdana menteri," katanya.

Pada masa yang sama, Loke juga menzahirkan harapan untuk melihat speaker wanita untuk Parlimen juga.

Beliau memberi contoh bagaimana pembangkang yang menerajui kerajaan negeri Selangor melantik seorang wanita - Hannah Yeoh - sebagai speaker dewan undangan negerinya.

[Baca berita penuh]