Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk membatalkan permit penerbitan media cetak yang memuatkan artikel, ruangan soal-jawab dan iklan yang memberi tumpuan kepada seks, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata penyiaran bahan seumpama itu termasuk tumpuan kepada kecantikan wanita secara keterlaluan adalah menyalahi peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Walaupun kerajaan sentiasa mengamalkan dasar terbuka terhadap pengamal media, khususnya media cetak bagi menentukan hala tuju majalah atau akhbar masing-masing, semua penerbitan yang diluluskan permit, tidak boleh menyiarkan bahan seumpama itu.

Mengikut akta itu, semua penerbitan yang diluluskan permit dikehendaki tidak menyiarkan bahan penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan, kepentingan awam dan negara serta yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan berlawanan dengan undang-undang.

Abdullah berkata demikian bagi menjawab soalan Mat Nasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah kerajaan terhadap media cetak dan elektronik yang kebelakangan ini memberi terlalu banyak tumpuan kepada seks dan kecantikan wanita sebagai alat pelaris dan daya penarik kepada jualan.

Perdana Menteri berkata, antara langkah yang diambil ialah menganjurkan program kesedaran melalui lawatan dan dialog dengan pihak pengamal media cetak, memberi nasihat, teguran dan amaran jika mereka didapati melakukan kesalahan itu.

Jika kesalahan itu masih berulang, katanya, kementerian akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan disusuli tindakan menggantung atau membatalkan permit penerbitan berkenaan, katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata kementerian itu sentiasa memberi ruang kepada penerbit majalah dan akhbar tempatan agar cenderung ke arah pemberitaan bercorak positif dan membina minda masyarakat.

22 ajaran sesat

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin memberitahu Dewan Rakyat, 22 kumpulan ajaran sesat dikesan bergerak aktif di seluruh negara pada masa ini, dengan pengikutnya dianggarkan berjumlah 2,820 orang.

Menurutnya, kegiatan kumpulan-kumpulan itu bergerak secara sulit dan menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam dan ini merupakan masalah utama penguatkuasa untuk membanterasnya.

"Ada sesetengah ajaran itu hanya bergerak pada waktu malam. Waktu siang mereka semua bercampur dengan kita bekerja seperti biasa di pejabat-pejabat," katanya ketika menjawab soalan Ismail Noh (PAS-Pasir Mas).

Katanya, pegawai penguatkuasa agama juga perlu mempunyai bukti dan asas yang kukuh bahawa sesebuah kumpulan itu mengamalkan ajaran sesat sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk mendakwa pemimpin dan pengikutnya.

"Sebagai contoh ajaran yang cuba memperalatkan tarikat iaitu mendakwa tarikat ini merupakan jalan pintas ke syurga, berzikir sahaja beribu, berpuluh ribu maka akan sampai ke syurga," katanya.

Abdullah berkata kegiatan kumpulan-kumpulan seumpama itu memerlukan siasatan rapi dibuat terlebih dahulu bagi mendapatkan bukti bahawa ajaran yang dibawa itu adalah sesat sebelum tindakan diambil.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan sentiasa bertindak segera dalam menangani ajaran sesat di seluruh negara termasuk di negeri-negeri pantai timur dan sehingga kini bilangan mereka yang telah dipulihkan ialah 4,766 orang.

"Daripada jumlah itu seramai 2,383 orang telah dipulihkan dengan cara penjelasan aqidah, 2,363 melalui kaunseling manakala 20 orang dengan mengadakan majlis taubat," katanya.

Beliau berkata antara tindakan yang diambil terhadap kumpulan-kumpulan ajaran sesat itu ialah mendakwa pengikut dan pemimpin kumpulan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada, menahan mereka yang terlibat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta mengadakan majlis pemulihan aqidah kepada mereka yang terlibat.

Pengurusan keselamatan

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa pengurusan keselamatan negara termasuk maklumat risikan tidak perlu diletakkan di bawah akauntabiliti Parlimen.

Katanya, mekanisme sedia ada sudah memadai untuk menangani sebarang ancaman keselamatan dari dalam mahupun luar negara.

"Pengurusan maklumat risikan perlu dikendalikan oleh agensi yang terlatih sahaja kerana sebarang pendedahan maklumat risikan boleh menjejaskan pelaksanaan pemantauan atau aktiviti keselamatan dalam menangani sesuatu isu keselamatan negara.

"Sehubungan itu, mekanisme sedia ada sudah memadai bagi menguruskan pengumpulan maklumat risikan untuk tujuan menangani keselamatan negara daripada sebarang ancaman dari dalam mahupun luar negara," katanya.

Beliau berkata pengurusan keselamatan negara termasuk maklumat risikan kini diletakkan di bawah tanggungjawab agensi-agensi tertentu yang terlatih dalam mengendalikan perolehan dan pengumpulan maklumat perisikan.

Tanggungjawab bagi risikan keselamatan kententeraman awam adalah di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala bagi risikan mengenai ancaman kedaulatan negara atau ancaman luar dipertanggungjawabkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), katanya.

Mohamed Nazri berkata segala maklumat risikan itu disalurkan kepada Jawatankuasa Perisikan Negara, Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar.

"Kita berpendapat biarlah Parlimen memainkan peranannya sebagai badan perundangan dan keselamatan negara kita serahkan kepada pentadbiran," katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Lim ingin tahu adakah kerajaan menyokong penubuhan Jawatankuasa Pilihan mengenai Risikan untuk meletakkan pengumpulan risikan di bawah akauntabiliti Parlimen dan bukannya dijadikan suatu undang-undang tersendiri.