Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas tidak akan melayan sebarang rayuan Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine berhubung penarikan semula pengiktirafan ijazah perubatannya.

Katanya, pintu rayuan telah ditutup memandangkan CSMU tidak menjawab pertanyaan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengenai isu terbabit walaupun diberi masa yang agak panjang.

"Sehingga kini, kita masih belum menerima jawapan atau rayuan daripada CSMU. Hanya Duta Ukraine Ke Malaysia (yang membuat kenyataan) dan cuba menjadikannya satu isu politik.

"Oleh itu, kabinet semalam memutuskan untuk tidak melayan sebarang rayuan mereka. Keputusan itu adalah muktamad," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Chua berkata kerajaan kesal dengan sikap CSMU yang berdiam diri selama ini terutama ketika perkara itu menjadi perbualan hangat di Malaysia sejak dua minggu lalu.

Mengenai mutu pengajaran di CSMU, beliau berkata bahawa apa yang dicurigai ialah tahap kualiti graduan CSMU terutama kefahaman mereka terhadap istilah perubatan dalam Bahasa Inggeris.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ini kerana CSMU masih menggunakan Bahasa Russia sebagai bahasa pengantar walaupun telah diminta untuk mengendalikan kursus ijazah perubatan dalam Bahasa Inggeris.

"Kerajaan sedang giat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan (tetapi) usaha ini tidak akan berjaya jika orang mempertikaikan mutu doktor-doktor Malaysia," katanya.

Tidak berunsur politik

Terdahulu, semasa menjawab soalan tambahan daripada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada persidangan Dewan Rakyat, Chua berkata keputusan menarik balik pengiktirafan itu dibuat berdasarkan penilaian profesional dan tidak berunsur politik atau perkauman dan tidak seharusnya diperalatkan oleh mana-mana untuk meraih sokongan.

Katanya keputusan itu juga dibuat kerana alasan keselamatan pelajar memandangkan terdapat aduan pelajar di situ yang dirogol dan diugut.

"Selain soal keselamatan, gejala rasuah juga telah menjadi isu. MMC telah hantar surat pada tahun 2004 supaya mereka (CSMU) memberi penjelasan tetapi hingga hari ini masih tidak ada jawapan," katanya.

MMC turut menghantar surat kepada Majlis Perubatan Ukraine berhubung persoalan bahawa kerajaan Ukraine tidak mengiktiraf pelajar Malaysia yang mempunyai kelulusan dari universiti itu dan sehingga kini belum menerima jawapan.

Selain itu, kata Chua, pelajar lulusan CSMU mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lemah kerana tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka tidak memuaskan.

"Kalau mahukan doktor yang berkualiti kita akan setuju dengan keputusan MMC," katanya.

Chua berkata walaupun Malaysia kekurangan doktor tetapi dalam soal menambah bilangannya, soal profesionalisme dan kualiti tetap menjadi keutamaan.