Ramai pelajar luar bandar gagal Sains dan Matematik dalam BI
Kementerian Pelajaran bimbang dengan kegagalan hampir separuh pelajar tingkatan satu dan dua di luar bandar dalam subjek sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.
Kementerian Pelajaran bimbang dengan kegagalan hampir separuh pelajar tingkatan satu dan dua di luar bandar dalam subjek sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.
Menterinya, Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kajian kementerian itu mendapati pencapaian pelajar tingkatan satu sekolah menengah luar bandar bagi subjek sains ialah 41.1 peratus manakala tingkatan dua, 43 peratus.
Bagi subjek matematik pula, katanya, peratus kelulusan bagi pelajar tingkatan satu ialah 42.1 peratus dan 46.3 peratus bagi pelajar tingkatan dua.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Hishammuddin berkata pencapaian di sekolah bandar bagi subjek matematik adalah lebih baik iaitu 57.5 peratus bagi pelajar tingkatan satu dan 59.6 peratus bagi pelajar tingkatan dua.
Menurutnya, pelajar sekolah rendah sama ada di luar bandar atau bandar didapati tidak menghadapi masalah dalam perkara itu dan telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
"Keadaan ini (di sekolah menengah) mungkin disebabkan pelajar belum dapat menyesuaikan diri untuk mengikuti pengajaran dalam Bahasa Inggeris. Mungkin sebab sebelum ini (semasa di sekolah rendah) mereka sudah biasa dalam Bahasa Melayu," katanya.
Berikutan itu, Hishammuddin berkata kementerian berkenaan akan memastikan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris akan diperhebatkan lagi terutama di peringkat sekolah menengah.

