PAS nafi bincang agih kerusi dengan BERSATU
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob hari ini menafikan dakwaan parti itu bersetuju berunding mengagih kerusi pilihan raya umum dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Portal Utusan Malaysia Online memetiknya sebagai berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau arahan pun mengenai perkara itu sambil menegaskan keputusan untuk mengagih kerusi adalah hak mutlak Pesuruhjaya PAS negeri.
“Tidak ada, setakat ini kita tidak ada maklumat bahawa PAS ajak BERSATU untuk pengagihan kerusi.
“Kita cuma diberi laluan untuk bersama atas pentas menyatakan perjuangan masing-masing,” katanya yang dipetik portal itu selepas menghadiri sebuah majlis di Kota Bahru, hari ini.
Semalam, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu telah mendapat jemputan daripada PAS untuk rundingan agihan kerusi.
Menurutnya, hubungan BERSATU dengan PAS juga bertambah baik dan mereka dijemput ke majlis anjuran parti berkenaan hampir setiap hari, termasuk untuk membincangkan agihan kerusi.
Pada 28 Februari lalu, Pakatan Harapan menjalankan pusingan pertama mesyuarat agihan kerusi tanpa kehadiran wakil BERSATU kerana parti itu masih belum mengenal pasti kerusi yang mahu ditandinginya.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sehari kemudian berkata pihaknya mahu satu pertemuan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan untuk membincangkan prinsip asas rundingan agihan kerusi .
Jawatankuasa mengenai rundingan agihan kerusi HARAPAN dianggotai oleh Mukhriz, Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Datuk Saifuddin Nasution dari PKR, Anthony Loke dari DAP dan Dr Hatta Ramli dari AMANAH.
Mesyuarat itu tidak melibatkan PAS, yang telah berkeras bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.
PAS, bekas sekutu Pakatan Rakyat, dikatakan akan membuat keputusan mengenai hubungannya dengan PKR dalam muktamar parti itu yang akan datang.

