Tian: Tiada kaitan antara PKR dan Malaysia Today
Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan lamanweb politik, Malaysia Today , kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan lamanweb politik, Malaysia Today , kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Tian membuat penjelasan itu berikutan tersiarkannya siri laporan khas dalam lamanweb tersebut yang mendakwa wujud konspirasi oleh sesetengah pemimpin PAS terhadap penasihat PKR dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan semalam, Tian berkata, walaupun lamanweb itu, yang dikendalikan oleh aktivis reformasi Raja Petra Kamaruddin, sering menyiarkan lapoaran mengenai PKR, tetapi ia tidak mewakili pandangan parti tersebut.
" Malaysia Today mempunyai objektifnya sendiri dan tidak ada kaitan dengan PKR. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh lamanweb tersebut, tidak semestinya selaras dengan pandangan Anwar ataupun PKR yang mempunyai lamanweb dan buletinnya sendiri," tambahnya.
Laporan khas dalam lamanweb tersebut disiarkan berikutan perbincangan di dalam webblog 'Screenshots' berhubung tulisan ahli Parlimen PAS Abdul Halim Othman mengenai Commercial IBT (CIBT).
Bertajuk 'Get Anwar' , laporan tersebut yang disiarkan mulai 20 Jun lalu, mendakwa bahawa perbincangan itu tercetus dengan niat untuk mengaitkan Anwar dengan CIBT yang dituduhkan membiayai aktiviti pengganas.
Penjelasan dialu-alukan
Dalam reaksinya, Raja Petra berkata beliau mengalu-alukan kenyataan pemimpin PKR itu kerana ia memperkuatkan lagi pendirian awalnya bahawa Malaysia Today bebas dari sebarang pengaruh politik.
"Saya telah menjelaskan kepada banyak pihak bahawa lamanweb ini tidak ada kaitan dengan PKR atau mana-mana parti. Kami tidak dibayar oleh PKR atau Anwar. Tetapi mereka tidak percaya cakap kami. Sekarang, Tian sendiri yang membuat keadaan itu semakin jelas. Ini adalah baik," tambahnya.
Ketika dihubungi kemudiannya, Tian menafikan, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas menerima rungutan daripada pemimpin PAS berhubung laporan tersebut.
"Saya membuat kenyataan tersebut atas inisitiaf kami sendiri untuk membuat penjelasan kepada awam bahawa laporan yang disiarkan oleh Raja Petra dalam lamanwebnya itu tidak mewakili PKR...itu sahaja," katanya.
Ditanya sama beliau bercakap dengan Raja Petra sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut, Tian berkata, beliau tidak berbuat demikian dan menambah: "Saya tidak mahu sebarang perbincangan disalahfaham sebagai cuba mempengaruhi atau campurtangan dalam pandangan Raja Petra".
"Saya menghormati beliau sebagai seorang individu yang bebas untuk melakukan apa yang dia mahu. Tetapi beliau bertanggungjawab ke atas pandangan-pandangannya sahaja dan pihak parti tidak bersamanya dalam perkara ini," katanya.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Tian berkata, adalah amat malang apabila membaca 'serangan peribadi' dibuat terhadap pemimpin-pemimpin tertentu PAS.
"Saya rasa PKR dan PAS bersedia menerima kritikan antara satu sama lain, tetapi laporan itu bersifat terlalu peribadi. Ia juga menyebut beberapa perkataan kasar terhadap blogger yang lain, kerana itulah kami tidak mahu apa yang telah dikatakan itu disalahanggap sebagai pandangan PKR.
"Sekiranya kami tidak bersetuju dengan sebarang kenyataan atau dasar yang dibuat oleh pemimpin PAS, kami akan mengeluarkan kenyataan dalam lamanweb kami. Kami tidak akan menggunakan Malaysia Today untuk mengkritik pemimpin PAS," tambahnya.
Menurut Tian, Anwar sendiripun yang kini pulang bercuti selama lima hari di Malaysia daripada tugasnya di Universiti John Hopkins di Washington turut melahirkan rasa kecewanya terhadap laporan tersebut.
"Adalah amat malang sekali mengenai cara Raja Putera bercakap mengenai CIBT kerana ia seolah-olah memberi gambaran yang Anwar benar-benar terbabit, sedangkan itu tidak benar sama sekali.
"Saya bercakap dengan Anwar yang kecewa dengan apa yang telah berlaku dan berharap ianya tidak akan disalahfaham oleh orang ramai," katanya.
Bersedia terima kritikan
Berhubung isu 'serangan peribadi' itu, Raja Petra berkata ianya bukan sesuatu yang baru kerana beliau dan ramai lagi pemimpin pembangkang yang sering membuat 'kenyataan peribadi' terhadap pemimpin kerajaan, seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak) dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Tetapi saya sentiasa bersikap profesional dalam laporan-laporan saya. Saya tidak pernah memanggil mereka dengan nama-nama yang mencemarkan, sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah ahli politik, webmaster dan blogger. Saya hanya menulis mengenai salahlaku mereka," tambahnya.
Katanya, beliau akan terus bersikap konsisten dalam perjuangannya menentang rasuah sama ada dalam kerajaan atau pihak pembangkang.
Katanya, parti pembangkang juga mesti belajar menerima kritikan sambil berkata 'mereka tidak boleh terus menerus mengkritik orang lain tetapi enggan dikritik."
Menurutnya, pembangkang mesti berubah jika mereka mahu memastikan kehadiran mereka mempunyai impak dalam pilihanraya umum akan datang.

