Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

"Saya tahu anak saya dalam keadaan ketakutan biarpun dia menyatakan mereka sekeluarga selamat di sana," demikian luahan Maznah Adnan, ibu kepada seorang daripada rakyat Malaysia di Korea Utara.

Maznah, 63, merupakan ibu kepada Iza Karmila Ramli, 33, iaitu isteri penasihat kedutaan di Kedutaan Malaysia di Pyongyang, Mohd Nor Azrin Md Zain yang masih berada di Korea Utara bersama tiga lagi anak mereka selepas tidak dibenarkan meninggalkan negara itu sejak 7 Mac lalu.

Tiga anak Iza Karmila dan Mohd Nor Azrin yang berasal dari Perlis adalah Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah serta Ayscha Zinnirah.

Maznah, yang juga suri rumah sepenuh masa berkata kali terakhir beliau bercakap dengan anaknya adalah pada petang Selasa lepas menerusi panggilan telefon selama beberapa minit.

"Dia menyuruh saya banyak bersabar dan jangan risau kerana tiada yang serius berlaku, tetapi sebagai seorang emak saya tahu dia dalam ketakutan cuma tidak mahu saya risau," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Sitiawan hari ini.

Semenjak anak ketiganya daripada enam beradik itu dilarang meninggalkan Korea Utara, Maznah berkata sebagai ibu, perasaan risau dan gelisah setiap masa memang tidak boleh dielakkan apatah lagi untuk tidur dengan nyenyak.

"Kita tahu macam mana negara tersebut, memang sensitif jika melibatkan negara mereka dan saya sangat susah hati memikirkan perkara itu," katanya sambil menambah sukar untuk menghubungi anaknya kerana sekatan komunikasi.

Iza Karmila merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik tetapi kini sedang bercuti kerana mengikuti suaminya bertugas sejak dua tahun lepas dan kali terakhir kembali ke tanah air adalah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Beliau berkata semenjak anaknya tinggal di Korea Utara, dia tidak pernah menceritakan sebarang permasalahan kecuali kesukaran mendapatkan bekalan makanan halal.

"Cuma semenjak ditahan, pergerakan memang terbatas kerana dia sekeluarga sendiri takut untuk keluar dari kawasan kedutaan termasuk menghantar anak ke sekolah," katanya.

Menceritakan dengan lebih lanjut, Maznah berkata dia mengetahui anaknya bersama keluarga serta rakyat Malaysia lain tidak dibenarkan meninggalkan Pyongyang melalui seorang daripada ahli keluarga dan berasa sangat terkejut.

Sebagai ibu, beliau hanya mampu melakukan solat hajat memanjatkan doa supaya segala kemelut dapat diselesaikan secepat mungkin dan semua rakyat Malaysia di sana selamat pulang ke tanah air.

"Malah, hari ini anggota keluarga mengadakan majlis doa selamat untuk mendoakan keselamatan keluarga anak saya di sana," katanya.

Sebelas rakyat Malaysia termasuk tiga pegawai kedutaan dihalang daripada meninggalkan Korea Utara sebagai tindak balas sejurus Malaysia mengusir keluar dutanya, Kang Chol selepas diisytiharkan sebagai Persona Non Grata atau orang yang tidak dialu-alukan.

Namun dua rakyat Malaysia yang sedang mengikuti Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah dibenarkan keluar dari Pyongyang dan kini telah selamat tiba di Beijing.

Kang Chol diusir selepas kerajaan Malaysia mengisytiharnya sebagai Persona Non Grata atau orang yang tidak dialu-alukan setelah gagal menghadirkan diri ke Wisma Putra, pada 6 petang 4 Februari lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata semua rakyat Malaysia termasuk pegawai kedutaan dan keluarga di Pyongyang selamat selain bebas menjalani kehidupan harian seperti biasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS