Penangkapan aktivis Khairul Anuar Ahmad Zainuddin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam dibimbangi langkah awal kerajaan melumpuhkan gerakan pelajar proreformasi, kata sebuah pertubuhan hak asasi terkemuka hari ini.

Dalam siaran akhbarnya, Amnesty International (AI) juga melahirkan rasa bimbang Khairul Anuar bakal mengalami layanan buruk polis Cawangan Khas dan tekanan psikologi serta jasmani.

Pertubuhan itu yang berpangkalan di London baru-baru ini melancarkan kempen besar-besaran di peringkat antarabangsa sebagai membantah tindakan kerajaan Malaysia menahan 10 aktivis reformasi sejak 10 April lalu. Empat telah dibebaskan bulan lalu.

Sementara enam aktivis lain - kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak - disifatkan "tahanan politik kerana perjuangan masing-masing" oleh AI. Mereka termasuklah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor dan penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais.

Khairul Anuar ditahan di depan balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur ketika mengiringi enam lagi aktivis pelajar yang sedang disiasat berhubung satu perhimpunan bagi menggesa pemansuhan ISA di depan Masjid Negara pada 8 Jun lalu. Enam aktivis itu dikehendaki melapor diri di balai itu pada 19 Julai ini.

Lebih sejam selepas itu, biliknya di Bangsar, Kuala Lumpur digeledah oleh kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa. Bahan-bahan bercetak, komputer dan video cakera padat (VCD) reformasi turut dirampas.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang pula menyifatkan Perdana Menteri, setelah genap 20 tahun memegang jawatan itu bulan ini, masih sanggup "menggunakan kuasa secara melampau untuk mengukuhkan kedudukannya."

Penolong Setiausaha Agung Pemuda Keadilan Diong Chi Tzuoh berkata tangkapan itu membuktikan akta itu dari hari ke hari semakin senang diperalatkan oleh kerajaan.

Selain mengecam tindakan itu, Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia Muhammad Ali Syed Husin turut menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meneliti kes itu dengan segera.

Sementara beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengecam tangkapan Khairul Anuar.

Ancaman sistematik

Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI), yang turut disertai Khairul Anuar, mendesak polis membebaskan aktivis itu dengan segera dan menghentikan segala bentuk gangguan terhadap kumpulan pelajar.

"Kami berasa kesal polis Cawangan Khas (SB) menjalankan gangguan dan ancaman sistematik ke atas pemimpin pelajar yang berwibawa," kata jurucakapnya Syahrir Mahmood.

Irene Xavier, jurucakap Inisiatif Manifesto Rakyat (PMI), berkata gabungan itu tidak menerima alasan polis bahawa tangkapan itu kerana aktivis pelajar itu, juga popular dengan panggilan 'Jonnah', "mengancam keselamatan negara."

Sementara Agenda Wanita untuk Perubahan (WAC) berpendapat "akta ini telah menjadi semakin zalim dan sewenang-wenangnya digunakan" akhir-akhir ini.

Khairul Anuar sebelum ini menuntut di Universiti Putra Malaysia tetapi berhenti selepas menerima beberapa tekanan, termasuk diarahkan keluar daripada kolej kediaman.

Institut Kemahiran Mara (IKM), tempat belajarnya sekarang, mengeluarkan surat tunjuk sebab dengan empat pertuduhan pada 25 Jun lalu. Semua tuduhan ini hasil siasatan unit Cawangan Khas di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Pertuduhan itu termasuklah: menyertai kempen bagi menyokong Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara pada 18 Februari lalu melalui persembahan bacaan sajak, nyanyian dan berpidato; menghadiri bengkel motivasi reformasi di Kelab Darul Ehsan, Selangor pada 27 Februari lalu bagi "menjayakan agenda untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi", dan terlibat dalam "perjumpaan sulit" di rumah Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bagi "merancang demonstrasi jalanan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan."

Beliau bergerak cergas bersama kumpulan pelajar yang digelar 'Univeristi Bangsar Utama' (UBU) dan kerap mengadakan persembahan teater, khususnya 'Tok Ampoo' - yang berjaya menarik minat orang ramai.

Jonnah juga memimpin pusat tuisyen percuma untuk pelajar sekolah di Bangsar.

Foto ehsan Harakahdaily.com