Tindakan seorang lelaki yang tidak dikenali yang membuat kecoh dengan mencampak mikrofon serta alat muzik ke lantai ketika persembahan zapin dan ghazal di Riyadh International Book Fair (RIBF) 2017 tidak mematahkan semangat pelajar Malaysia untuk terus membuat persembahan.

Pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor, Aizat Azhar, 17, berkata dia berasa terkejut dan tergamam apabila alat muzik gambus yang dimainkan dalam persembahan itu dicampak ke lantai.

"Saya tidak menyangka perkara ini berlaku kerana beberapa persembahan yang dibuat pada pesta buku ini mendapat sambutan pengunjung tempatan," katanya ketika ditemui pemberita diRiyadh semalam.

Bagaimanapun pelajar dari Pekan, Pahang itu berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan persembahan bersama 11 lagi rakannya bagi mengangkat seni negara ke persada antarabangsa.

"Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana kami baik-baik sahaja dan semuanya dalam keadaan terkawal," katanya sambil menambah gambus tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan.

Seorang lagi pelajar, Osama Yamani Jamal Ubaidillah, 16, turut melahirkan rasa bersemangat untuk meneruskan persembahan zapin dan ghazal.

"Ini merupakan satu pengalaman yang berharga buat kami dan kami akan mengambilnya sebagai satu cabaran yang perlu kami lalui," kata anak penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah itu.

Dalam pada itu, guru muzik sekolah berkenaan, Mohd Dzurri Bachok berkata ketika kejadian, pihaknya diminta sebuah stesen televisyen tempatan untuk melakukan persembahan bagi rakaman stesen tersebut.

Bagaimanapun katanya ketika persembahan, seorang lelaki yang tidak dikenali bertindak mengambil gambus dan mikrofon lalu mencampakkannya ke lantai sambil menyatakan sesuatu dalam bahasa Arab.

Katanya, beliau mahu menghentikan persembahan tersebut namun Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBN) Mohd Khair Ngadiron meminta pihaknya meneruskan acara bagi memenuhi permintaan penganjur RIBF iaitu Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi sebagai acara kebudayaan.

"Kami akan teruskan persembahan sehingga hari terakhir pesta buku namun persembahannya akan diturunkan sedikit nadanya," katanya.

Malaysia diundang kerajaan Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku yang bermula dari 8 hingga 17 Mac itu.

- Bernama