Bahasa, Melayu dan nasib hilang peta

       

ULASAN | Kita harus terima hakikat, suatu peta baru sudah dicipta untuk wilayah dan taman perumahan di Malaysia. Nama yang asalnya berbunyi Melayu dan Nusantara sudah terhapus. Peta baru wujud bersama simbol dan semangat baru di Malaysia.

Nama Melayu di kawasan separa tradisional seperti Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat semakin dimodenkan dengan nama baru yang kononnya lebih bugar dan glokal.

Kampung Kerinchi yang dulunya kawasan setinggan dan wilayah penagih dadah sudah bergelar Bangsar South. Tidak jauh dari itu, ada pula Bangsar Village.

Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Pantai Dalam sudah lusuh dari peta moden. Kampung Baru juga diyakini akan hilang daripada sebutan awam apabila rangka pembangunan nasional yang bertujuan memodenkan kawasan tradisi sedang berjalan lancar.

Hari ini kaum pemodal dan kapitalis rakus menfaraidkan wilayah negara bersama penguasa politik. Mereka tidak peduli bahasa dan budaya Melayu. Mereka glokal dan globalisasi. Mereka rakus dan ganas.

Mereka lakukan apa saja kerana boleh pergunakan akta dan hukum kanun untuk mencapai hasrat dan tujuan.

Jangan terperanjat apabila nama asing wujud secara keterlaluan di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Mereka boleh membangunkan Forest City dengan sekelip mata dengan nama asing dan wajah asing.

Melayu dan bahasanya akan terus di belakang kerana yang berkuasa di Forest City adalah golongan yang tidak boleh dicabar. Lebih malang, orang asing dikatakan akan diberikan hak milik kekal dan pegangan bebas.

Syarikat misteri 1MDB dan pelabur China sedang sibuk menfaraidkan pembangunan di kawasan lapangan terbang Sungai Besi dan seluruh negara.

Kita tidak hairan tentang nilai pelaburan. Yang kita bimbang penguasaan asing akan membawa bencana terhadap kedaulatan bahasa dan budaya tempatan. Isu politik dan ekonomi bukan lagi menjadi rahsia umum.

Usaha merendahkan imej dan bahasa Melayu sudah lama berlaku. Sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar penswastaan dan korporat pada 1982, fungsi swasta dalam pembangunan nasional begitu ketara.

Bukan di London atau New York

Pelaburan mereka bermatlamatkan keuntungan. Pemodal yang juga kapitalis adalah sekutu setia politikus yang korup. Mereka mempergunakan kuasa untuk melabur dan melebur.

Kapitalis membangunkan sesuatu kawasan, tidak salah. Yang tak betul ialah apabila pembangunan mengabaikan kemajuan budaya dan bahasa. Jati diri tempatan diperlekeh ke tahap yang luar biasa.

Namun hari ini perbuatan mengaibkan bahasa sendiri bukan satu kesalahan. Undang-undang tidak meletakkan isu bahasa sebagai fakta kes. Bahasa hanya wujud dalam perlembagaan. Bahasa Melayu bahasa rasmi. Namun jika bahasa Melayu tidak dihormati dan diabaikan, ia bukan kesalahan di Malaysia.

Pendaulatan bahasa terus diketepikan. Justeru, wujud nama aneh dan asing untuk petempatan dan taman perumahan di Lembah Klang.

The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue itu wujudnya bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur!

Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah mahu menyebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana lafaznya terlalu aneh untuk mereka, dan tidak mencerminkan identiti Melayu.

Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Pemaju perumahan ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan.

Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju hanya membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan.

Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan.

Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.

Usaha meremehkan bahasa Melayu di taman perumahan berjalan lancar. Walaupun Dr Mahathir tidak lagi berkuasa, pewarisnya juga tetap mempunyai agenda yang sama.

Politik, ekonomi dan pembangunan perlu seiring. Politikus dan kapitalis seiring jalan membangunkan negara ketika budayawan, ahli bahasa dan sasterawan semakin diketepikan. Ustaz dan lebai pula sedang zuhud dan istiqamah dengan perjuangan hudud yang entah bila tercapai.

Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah penggunaan perkataan "presint" yang diubah daripada "precinct" di Putrajaya.

Tiada budaya, citra di Malaysia

Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi.

Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan "presint" dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud "kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan".

Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan "presint" bermaksud "ruang yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah".

Pedulikan maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi ketika Malaysia sekarang terlalu sibuk mencipta kemajuan.

Barangkali demi memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?

Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama Jalan Pekeliling yang sepatutnya Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya Circular Road!

Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut Kuala Lumpur Sentral, Pudu Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi.

Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri.

Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!

Kita semakin kehilangan peta. Seperti Melayu kampung Kerinchi yang kehilangan citra dan wilayah. Bahasa dan budaya kita makin longlai. Kita sebenarnya bersetuju dengan pembangunan untuk tidak bersetuju dengan kesan yang ditinggalkan.

Pejuang bahasa dan sastera, budayawan dan sarjana, suara kalian sudah lupus. Anda harus terima hakikat; Malaysia bukan sebuah negara bangsa. Tiada budaya dan tiada citra di Malaysia!


IMLAN ADABI adalah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian. Tulisan ini pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda