PEMANDU kecewakan ketua pemuda Gerakan
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, semalam secara terbuka menyatakan rasa kecewanya kepada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang menyelia Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Melalui Twitter, Tan berkata, dia tidak lagi mengikuti akaun rasmi GTP selepas melihat sendiri "wajah sebenar" agensi kerajaan berkenaan.
"Saya baru saja berhenti mengikuti @gtp_roadmap… Nasib baik saya dapat melihat wajah sebenar agensi ini. Terima kasih atas pencerahan. Salam!" kata Tan.
Tweet itu kemudian disusuli lagi: "Saya akan menyokong sebarang agensi kerajaan yang membantu semua rakyat Malaysia. Tetapi saya sangat menolak pihak yang hanya memenuhi cita rasa orang kaya."
Sementara itu ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan hari ini, Tan enggan memberi sebarang kenyataan lanjut.
"Saya cuma lebih suka untuk tidak mengikut (Twitter) mereka. Tak ada komen lain. Saya mahu biarkan begitu saja," katanya kepada Malaysiakini.
Semakan di Twitter mendapati, beberapa pengguna media sosial itu turut meminta Tan untuk memberi komen mengapa dia mengambil sikap sedemikian.
example of why I'm against Pemandu (not PM's GTP) ....charging RM4k per person. Are you catering for super rich or Malaysians? @IdrisJala_ pic.twitter.com/24q6lCRMSH
— Tan Keng Liang (@tankengliang) March 11, 2017
Untuk rekod, Gerakan adalah sebahagian daripada kerajaan. Memang menjadi kelaziman bagi anggota parti gabungan BN untuk memberikan sokongan kepada dasar dan pelaksanaan kerajaan.
GTP diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dilancarkan pada 28 Januari 2010 merangkui enam (kemudian menjadi tujuh) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Ia dilaksanakan bagi membantu Malaysia mencapai taraf negara maju menjelang 2020.
Melalui beberapa catatannya kemudian Tan kemudian menjelaskan rasa tidak puas hatinya itu berkait dengan bayaran dikenakan untuk mengikuti Forum Transformasi Global yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Mac ini.
"Contoh mengapa saya membantah PEMANDU (bukan GTP perdana menteri).... mengenakan bayaran RM4,000 seorang.
"Adakah anda berkhidmat untuk orang kaya-raya atau rakyat Malaysia?" katanya.
Tan kemudian melampirkan laman sesawang Forum Transformasi Global yang memaparkan bayaran masuk antara RM4,000 hingga RM10,000 seorang.
"Saya harap @IdrisJala_ akan ingat bahawa PM @NajibRazak sudah banyak membantu semua rakyat Malaysia. Tidak hanya berkhidmat untuk orang kaya. Harap ingat itu," katanya di Twitter.
Tan merujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala.
Untuk rekod, ketika GTP masih kekal aktif, akaun Twitter program itu bukan lagi @gtp_roadmap sebaliknya menggunakan identiti baru, @NTPMalaysia merujuk kepada Program Transformasi Negara.

