Kementerian Pelancongan diminta campurtangan menyelesaikan masalah yang membabitkan Kerajaan Melaka yang menimpa seorang rakyat Irish yang menyertai Program 'Malaysia's My Second Home'.

Dalam ucapan penangguhan di Parlimen, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berkata, rakyat Irish itu, Rajandren Annamalai, berpindah dari Dublin ke Malaysia bersama keluarganya pada tahun 2003 di bawah'Silver Hair Programme'.

Katanya, Rajandren telah membeli sebuah bunglo berharga RM5 juta di persisiran pantai di Klebang, Melaka pada tahun 2002 bagi melayakkan dirinya menyertai program tersebut.

Beliau telah membayar cukai tanah termasuk bagi kawasan pantai di belakang rumahnya, yang kesemuanya membabitkan keluasan 9,000 kaki persegi.

Pada bulan Oktober 2004, Rajendran terkejut apabila seorang lelaki bernama Sidang Hassan memintanya membayar RM350,000 bagi kawasan pantai terbabit.

Bagaimanapun, Rajandren enggan membayarnya kerana kawasan tersebut telahpun menjadi hakmilikny selepas membayar cukai tanah sebelum ini.

Rajandren kemudian mendapati status tanah pantai itu telah ditukar kepada Tanah Adat Melayu (MCL) pada bulan April 2004, dengan bantuan satu cawangan Umno di Klebang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan bayaran premiumnya hanyalah RM1,400.

Sejak itu, kerja-kerja pembinaan mula dijalankan di kawasan itu, termasuk penebangan pokok-pokok tua, serta ditambak tanah setinggi empat kaki. Ianya dilakukan tanpa pelan bangunan yang diluluskan oleh majlis perbandaran.

Kerja-kerja pembinaan itu telah merosakkan longkang bunglo Rajandren serta menutup jalan masuk berhadapan pantai tersebut.

Kerajaan negeri dimaklumkan

Dalam jawapannya, Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad berkata masalah tanah tersebut adalah di bawah bidangkuasa Kerajaan Melaka dan notis mengenainya telahpun dihantar kepada kerajaan negeri berkenaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Rajandren turut mengadakan sidang akhbar bersama di lobi parlimen mengenai perkara tersebut.

Menurut Rajandren, beliau telah diberitahu oleh majlis perbandaran tersebut bahawa tanah miliknya hanya seluas 3,000 kaki persegi dan ia tidak termasuk kawasan pantai berkenaan, walaupun beliau telah diminta membayar cukai tanah bagi kawasan 9,000 kaki persegi.

"Pembinaan yang dijalankan di situ juga telah menghalang pandangan ke laut...Kami masih sukakan Malaysia dan kami kini mempunyai ramai kawan di sini. Kami berharap masalah itu dapat diselesaikan segera," kata Rajandren.

Beliau juga berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah menziarahinya pada 26 Mei lalu dan beliau telah berjanji untuk menyiasat perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini tiada sebarang tindakan yang diambil.