Naib Presiden MCA and bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan akan mencabar Datuk Seri Ong Ka Ting bagi jawatan Presiden MCA dalam pemilihan parti Ogos ini.

Mengumumkan demikian dalam sidang akhbar hari ini, Chua mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan bertanding jawatan tertinggi parti dalam pemilihan MCA 20 Ogos depan.

"Hari ini saya mengumumkan menawar diri untuk bertanding jawatan presiden MCA," katanya kepada pemberita yang penuh sesak menghadiri sidang akhbarnya petang ini, diikuti tepukan gemuruh para penyokongnya.

Ong ditawarkan jawatan presiden MCA sebagai sebahagian daripada kompromi bagi menyelesaikan krisis kepimpinan di antara Team A dan Team B dalam parti itu sebelum ini.

Pada tahun 2002, Chua dari Team B dikatakan akan mencabar Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, tetapi ia tidak menjadi kenyataan berikutan rancangan damai yang diusahakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tahun lalu, beliau tidak dilantik semula menganggotai kabinet dan jawatan Menteri Kesihatan yang disandangnya sebelum itu diisi oleh Dr Chua Soi Lek dari kumpulan Ong.

Pertandingan antara kawan

"Adalah jelas bahawa hanya presiden parti yang boleh membawa perubahan dan transformasi parti, budayanya, arahtujunya dan menyediakan wawasan baru bagi abad ini. Saya berjanji akan melakukan semua ini," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan hubungannya dengan Ong, beliau berkata: "Ini adalah pertandingan antara kawan". Ditanya mengenai prestasi kepimpinan sekarang, Chua berkata bukanlah bagi beliau untuk menentukannya.

"Bukanlah bagi saya untuk menilai seseorang yang akan saya tandingi dalam pemilihan parti. Ianya tidak adil. Saya rasa para perwakilanlah yang merupakan orang terbaik untuk menilai prestasi mereka," tambahnya.

Chua juga menafikan yang beliau mendapat sokongan pemimpin-pemimpin lain dalam parti itu dalam menguatkan kedudukannya.

"Tidak. Tidak ada pasukan. Ini adalah satu tugas yang akan saya lakukan sendiri. Saya akan bertanding bagi jawatan presiden menghadapi semua calon yang mahu merebut jawatan tersebut," katanya.

Chua juga mendedahkan bahawa sebelum pemilihan parti tahun 1999, beliau telah diminta untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

"Saya menolaknya kerana ia bukanlah satu keputusan yang sepatutnya. Timbalan presiden ketika itu lebih kanan daripada saya. Dia dipandang tinggi dan dihormati ahli-ahli parti," tambahnya.

Sokongan ahli

Mengenai keputusannya untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu, Chua berkata, semua keputusan penting dalam hidup ini '...mesti dibuat dengan tepat, pada masa yang tepat dan atas sebab yang tepat'.

"Saya telah banyak membuat keputusan penting dalam hidup saya, tetapi saya tidak seyakin hari ini kerana ia adalah keputusan yang paling tepat di segi masa dan alasannya," kata beliau sambil menambah maklum balas dan sokongan para ahli menjadi dua sebab utama yang mendorongnya untuk bertanding jawatan tersebut.

"Perkembangan terbaru yang berlaku dalam parti juga menyumbang kepada keputusan yang saya buat sekarang," katanya tetapi tidak mengulas lanjut.

Katanya, pada tahun 2003, walaupun ahli akar umbi menjangka jawatan presiden dan timbalan presiden akan diisi melalui pemilihan para perwakilan di mesyuarat agung tergempar parti itu, tidak ianya tidak berlaku sedemikian.

"Oleh itu, pemilihan parti akan datang ini adalah amat penting sekali kepada pihak parti dan masyarakat kerana ia merupakan pemilihan pertama parti MCA pada abad 21. Jadi harapan amat tinggi sekali," tambahnya.

Perebutan sengit

Chua menang tanpa bertanding sebagai ketua MCA Bakri bulan lalu. Pemilihan pada 20 Ogos depan yang pertama selepas enam tahun dijangka menyaksi pertandingan sengit bagi semua jawatan penting parti. Pemilihan bagi Pemuda dan Wanita akan diadakan sehari lebih awal.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, Chan Tse Yuen, bekas timbalan ketua Pemuda MCA pada awal tahun 1990-an, telah mengumumkan akan bertanding jawatan tersebut yang kini disandang oleh Datuk Chan Kong Choy.

Pertandingan bagi tiga jawatan naib presiden pula bakal menyaksikan persaingan antara lapan calon penyandangnya, Datuk Dr Fong Chan Onn; Datuk Chua Soi Lek; Datuk Fu Ah Kiow; Datuk Ong Tee Keat (menjadi naib presiden atas jawatan Ketua Pemuda), timbalan bendahari, Donald Lim Siang Chai; ahli jawatankuasa pusat,Datuk Chor Chee Heung, Datuk Tan Chai Ho, dan bekas naib presiden, Datuk Yap Pian Hon.