Keluarga aktivis pelajar yang ditahan semalam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) mengadakan pertemuan tertutup hari ini dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ibu dan empat adik-beradik Khairul Anuar Ahmad Zainuddin turut disertai wakil-wakil Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dua badan penyelaras ini disertai lebih 90 pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan pelajar dan parti politik.

Pertemuan keluarga itu dengan Suhakam bermula jam 3.30 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Keluarga aktivis itu bagaimanapun enggan ditemuramah selepas pertemuan itu.

Khairul Anuar ditahan di depan balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 9.30 pagi ketika mengiringi enam lagi aktivis pelajar yang sedang disiasat berhubung satu perhimpunan bagi menggesa pemansuhan ISA di depan Masjid Negara pada 8 Jun lalu.

Lebih sejam selepas itu, biliknya di Bangsar, Kuala Lumpur digeledah oleh kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa. Bahan-bahan bercetak, komputer dan video cakera padat (VCD) reformasi turut dirampas.

GMI turut menyerahkan satu memorandum, antara lain menyeru Suhakam mengadakan lawatan dengan seberapa segera tahanan ISA itu - mengulangi gesaan dalam sidang akhbar gabungan itu dengan GMMI pagi tadi.

Setiausaha jawatankuasa kerja GMI, S Arutchelvan berkata, suruhanjaya itu patut memanfaatkan bidang kuasanya dengan melawat Khairul Anuar dalam tempoh sehari dua atau minggu ini.

"Mereka tidak harus menunggu sehingga 50 hari seperti sebelum ini untuk melawat tahanan ISA. Mereka sepatutnya pihak pertama mengetuk pintu ibu pejabat polis Bukit Aman," kata Arutchelvan.

Suhakam boleh menggunakan peruntukan seksyen 4(2)(d) akta penubuhan suruhanjaya itu untuk melawat tempat tahanan dan seksyen 14(1)(c) untuk memanggil seseorang bagi siasatan berhubung pencabulan hak asasi.

Pesuruhjaya badan hak asasi itu Tan Sri Anuar Zainal Abidin yang menerima aduan itu berkata Suhakam berjanji akan meneliti memorandum itu.

Sementara di kaki lima dan berdekatan Menara Tun Razak yang menempatkan pejabat Suhakam, lebih 50 anggota polis antirusuhan dan anggota berpakaian biasa dengan bantuan unit anjing diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Beberapa trak polis dan kenderaan meriam air juga kelihatan.