Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta 355: MP BN Sarawak ikut pendirian KM
Diterbitkan:  Mar 16, 2017 6:27 AM
Dikemaskini: Mar 16, 2017 3:50 AM

Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengikuti pendirian Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berhubung usul Rang Undang-Undang Persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata setakat ini Abang Johari masih belum membuat sebarang keputusan berhubung usul berkenaan.

"Kami membuat pendirian tersebut (sokong atau sebaliknya) berdasarkan pendirian ketua menteri Sarawak.

"Jika ketua menteri memutuskan untuk tidak menyokong, maka anggota Parlimen Sarawak tidak akan menyokong," kata anggota Parlimen Santubong itu kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, begitu juga sebaliknya, sekiranya Abang Johari menyatakan sokongan terhadap usul pindaan berkenaan, maka anggota Parlimen BN Sarawak akan menyokong usul itu, kelak.

Notis usul rang undang-undang itu, yang dikemukakan Abdul Hadi, anggota Parlimen Marang, tersenarai sebagai perkara ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 yang bermula Isnin minggu lepas.

Usul Persendirian bagi meminda Akta 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Abdul Hadi pada 24 Nov tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS