Kerajaan telah melantik 1,600 kakitangan kerajaan kategori A, termasuk pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sebagai pegawai bertauliah bagi menahan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid berkata pegawai terbabit yang melibatkan diri secara sukarela, akan mengetuai pasukan Rela untuk mengesan Pati di kawasan mereka.

"Mereka akan menjadi pemimpin kepada anggota Rela dan diberi latihan dan kursus bagaimana untuk mengetuai dan melaksanakan operasi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa ini, terdapat 350,000 anggota Rela dan kira-kira 50,000 anggota Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara. Mereka, bagaimanapun, tidak ditauliahkan kuasa untuk menahan mana-mana individu termasuk pendatang.

Menjawab soalan, Azmi berkata bilangan pegawai bertauliah di kalangan kakitangan kerajaan yang berminat akan ditambah bagi meningkatkan penguatkuasaan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kerajaan sedang mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan pendatang itu dan akan menambah bilangan anggota Rela dan pegawai bertauliah di kawasan terbabit.

Operasi bersepadu

Katanya, 6,000 pendatang tanpa izin telah ditahan selepas tamatnya tempoh pengampunan pada 28 Februari lalu.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, 3,000 pendatang itu telah diusir dari Sabah dalam tempoh lima bulan lalu.

Daripada jumlah itu, 1,797 adalah warga Filipina, 1,131 warga Indonesia dan 72 lain-lain warganegara.

Beliau menjawab pertanyaan Chong Hon Min (Bebas-Sandakan) mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah pendatang itu, khususnya di Sabah.

Dalam jawapan bertulisnya, Mohamed Nazri berkata kerajaan tidak memandang ringan masalah pendatang di negeri itu dan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Antara langkah yang dirancang dan telah diambil adalah menggandakan operasi bersepadu secara berterusan terhadap pendatang tanpa izin dan memeriksa majikan dan orang ramai yang menggaji dan melindungi mereka.