Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertemu dengan pengerusi pengeluar kereta nasional itu Datuk Azlan Hashim berhubung laporan-laporan yang dikaitkan dengan ketua pegawai eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff.

Bercakap kepada pemberita sebelum pertemuan tersebut di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, beliau berkata: "Saya akan berjumpa pengerusi hari ini dan menanyakan padanya apa yang telah berlaku,".

Dr Mahathir berada di luar negara semasa beberapa akhbar utama melaporkan bahawa lembaga Proton telah memberikan Tengku Mahaleel surat tunjuk sebab untuk menjelaskan kenyataannya baru-baru ini yang mengkritik kerajaan berhubung dasar automotif dalam satu temubual dengan akhbar berbahasa cina, Oriental Daily.

"Saya hanya tahu sedikit daripada akhbar dan semua itu, tetapi saya memerlukan pengesahan. Saya tidak boleh mengulas berdasarkan laporan akhbar kerana kadang-kadang anda semua melaporkan benda yang lain.

"Jadi saya perlu mendapat tahu apakah situasi sebenarnya," kata bekas perdana menteri yang merupakan instrumental dalam penubuhan Proton.

Petikan NST

Apabila ditanya sama ada beliau telah membaca temubual yang diberikan oleh Tengku Mahaleel itu, Dr Mahathir berkata: "Saya tak baca akhbar Cina tetapi saya baca NST (New Straits Times)."

Menurut laporan Bernama, akhbar tersebut (NST) menyiarkan petikan yang dimaksudkan oleh Tengku Mahaleel kepada Oriental Daily.

Apabila ditanya pendapatnya mengenai temubual tersebut (berdasarkan kepada laporan NST), beliau berkata: "Itu apa yang akhbar kata. Saya tak tahu sama ada beliau berkata demikian (atau tidak)."

Sementara itu, Azlan yang memasuki mesyuarat tersebut pada 2.30 petang ini, keluar dalam masa lebih kurang sejam lebih.

Apabila ditanya mengenai hasil mesyuarat tersebut, beliau enggan menjelaskan apa-apa tetapi berkata "ianya bukan sesuatu yang perlu dibincangkan dengan media."

Mengenai sama ada Proton akan mengadakan sidang akhbar, beliau juga tidak menyatakan apa-apa.