Selepas mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat, perdana menteri hari ini berkongsi maklumat yang diperolehinya di masjid.

Kata Datuk Seri Najib Razak, penting untuk orang ramai bersikap berhati-hati dan meneliti kebenaran sesuatu berita sebelum menyebarkannya.

Beliau juga berdoa, dengan langkah itu mudah-mudahan Malaysia terpelihara daripada bencana fitnah.

"Salam Jumaat. Saya kongsi pesan khatib, pentingnya untuk kita teliti sebelum sebar sesuatu berita. Moga Malaysia dilindungi daripada bencana fitnah," katanya melalui Twitter.

Melalui teks khubah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, umat Islam diingatkan supaya mengamalkan konsep tabayyun (berhati-hati) dalam menerima atau menyebarkan sesebuah berita.

Kata teks itu, fitnah boleh tersebar dengan mudah pada era serba moden ini.

 

 

Justeru, kata Jakim, kaedah Islam perlu dilaksanakan bagi tujuan mengawal, mendidik dan menjamin agar pengaruh buruk media alaf baru tidak menjadi barah kepada penyakit sosial sedia ada.

"Antara pendekatan itu ialah melalui konsep tabayyun iaitu memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang sehingga jelas dan terang.

"Konsep tabayyun mengajar kita supaya tidak mendakwa atau memperkatakan sesuatu kecuali yang benar, mengadakan berita bohong adalah tanda-tanda munafik dan berdosa. Hanya berita yang telah diselidiki kebenaran atau kepalsuannya sahaja boleh disebarkan," kata teks itu lagi.

Nama Anwar pun ada

Bagaimanapun seperti selalu tweet Najib itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Sebahagiannya bersikap sinis. Antaranya, @syafiqq07 yang menjawab: "Cakap je lah done solat Jumaat".

Akaun @Abggaram96 pula mencatat: "Tadi solat Jumaat, (khutbah) pasal rasuah.. Pak cik Najib jangan main rasuah, abis negara nanti".

@KoalaKuMilo pula menjawab tweet Najib dengan ayat: "@NajibRazak betul tu Dato Sri. Banyak fitnah kat Malaysia kebelakangan ni. Kesian @anwaribrahim duduk kat penjara, kan".

Akaun @ahmdizzat turut tidak ketinggalan terbabit dalam perbualan itu. "@NajibRazak khatib cakap rasuah sekarang berleluasa. Terasa pedas trak?" katanya.

Bagi @mohdin_116 , dia menulis: "@NajibRazak pesan khutbah hari ini juga mengatakan silaturahim itu penting semua generasi, waktu cuti sekolah minggu ni.. eloklah kita sama2."

Satu lagi pengguna Twitter, @nikkiishaun menulis: "@NajibRazak memang masalah masyarakat kita sekarang ni .. suka fitnah dan dengan kata orang ..."

Sementara itu khutbah berkenaan turut mengingatkan supaya umat Islam supaya sering bertanya dan merujuk berita yang tidak diketahui sumbernya supaya tidak terkeliru, tersalah faham dan tersesat.

"Tidak rugi untuk merendah diri, bertolak ansur, saling memaafkan, hormat menghormati, bersikap adil dan saksama asal tidak menularkan api fitnah yang boleh mengancam keselamatan sesama manusia.

"Isu keselamatan amat penting apatah lagi jika ia melibatkan maruah dan nyawa akibat kebocoran maklumat kepada pihak yang tidak bertanggunjawab," katanya.