Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Amil Salleh digantung keahilannya selama sepenggal atau tiga tahun atas dakwaan campurtangan semasa pemilihan bahagian berkenaan.

Manakala Timbalan Pengerusi Umno Perlis, yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin diberi amaran atas kesalahan melanggar tataetika parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat lembaga tersebut pada hari Rabu lalu.

Amil didapati bersalah mengikut Perkara 2.1 dan 4.2 Tataetika Ahli Umno 2005 atas dakwaan campurtangan semasa pemilihan bahagian berkenaan.

Beliau memberi keterangan bersabit aduan itu kepada Lembaga Disiplin pada 22 Jun lalu.

Zahidi yang juga Ahli Exco Negeri Perlis didapati bersalah dan diberi amaran kerana melanggar tatetika parti di bawah Perkara 3 dan 4.1 (a).

Zahidi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Penggunaan, Sains dan Teknologi dan Industri Asas Tani Perlis didakwa menggunakan ucapan dasar sebagai ketua bahagian untuk mempengaruhi ahli semasa pemilihan perwakilan untuk ke perhimpunan agung parti tahun lalu.